Terima kasih sangat2!

f@sy@ f@ziD@ (^^)

Monday, February 17, 2014

'Mama, Ayrinn nak putih macam Ayraa...,"

Saya percaya semua orang mahu kelihatan cantik. Semua perempuan ada naluri ingin kelihatan sempurna (saya percaya lelaki juga ada perasaan ingin kelihatan kacak dan segak). Tetapi, sebelum itu, apa sebenarnya definisi cantik? Adakah cantik itu perlu berwajah putih cerah, hidung mancung bak seludang, bibir merah bak delima merekah, pipi bak pauh dilayang, betis bagai bunting padi, dan segala bagai perumpamaan lagi?

Mengapa saya bercerita fasal cantik? Ini kerana ada kisah menyayat hati saya, sebagai seorang ibu... Ini kisah permata hati saya. Setiap insan dilahirkan berbeza-beza. Namun, saya yakin dan percaya setiap aturan Allah SWT ada hikmahnya. Anak perempuan saya ada 2 orang. Sulung adalah abangnya. Adam dan Ayraa memiliki wajah yang hampir serupa (waktu bayi lagi sebijik muka mereka. Berkulit putih merah, berambut perang. Tapi, dah semakin besar, makin hitam lah. Ayrinn pula, kakak Ayraa dilahirkan dengan rambut lebat dan lurus ala rebonding.:) Namun, memiliki kulit yang agak gelap. Ok, kita sebut 'tan'. Merajuk Ayrinn nanti.:) Bagi kami, ibu bapa ketiga-tiga anak-anak kami, wajah kami biasa-biasa, warna kulit pun sedang-sedang.

Ayrinn Aryana - sayang mama...




Ayraa Adelia


Kisahnya begini; Suatu hari, kami berkunjung ke rumah ibu mertua dan sedang saya berbual-bual di meja makan bersama biras, Ayrinn turut ada di situ mengambil makanan dan secara tak sengaja terdengar makciknya berkata, "Ayraa lain sikit ye. Dia comel, cerah sikit." Lebih kurang begitulah bunyinya. Tetapi, kami terus bercerita seperti biasa. Namun, siapa menyangka, ayat itulah yang Ayrinn teringat-ingat berminggu-minggu lamanya, sehinggalah pada suatu hari, Ayrinn yang berusia 5 tahun itu berkata pada saya ketika kami menonton tv bersama-sama. Saat itu Ayrinn duduk di atas riba saya.

"Mama, Ayrinn nak putih, cerah macam Ayraa," kata Ayrinn perlahan.
Saya bertanya kembali. "Kenapa Ayrinn nak putih macam Ayraa? Ayrinn kan comel?" Balas saya.
"Habis tu, anyah (sebutan makciknya) kata Ayraa comel sebab dia putih..." jawabnya lagi.

Saya memandang wajah Ayrinn. Dada saya terasa sakit, sebak. Saya lantas memeluk Ayrinn kuat-kuat. Air mata saya tak terbendung lagi. Air hangat laju membasahi kedua pipi. Ayrinn terkebil-kebil dalam pelukan saya. Dalam tidak sedar,mata Ayrinn turut memerah Dan akhirnya dia juga turut menangis. Kami berpelukan anak-beranak.
"Ayrinn, Ayrinn tahu tak yang Ayrinn comel? Dulu, masa mama kecik-kecik, muka mama macam Ayrinn. Kan mama dah cakap banyak kali, Ayrinn memang comel. Sebab tu, mama ***** (nama seorang rakan Ayrinn di nurseri, saya keliru nama mereka sebab ramai sangat kawan-kawan yang dia sebut hari-hari di rumah) dah 2kali cakap Ayrinn comel. Kan Ayrinn beritahu mama hari tu, kan?"

Saya cuba memberikan keyakinan pada Ayrinn. Ayrinn terangguk-angguk dalam pelukan saya. Saya mengusap-usap wajah dan rambutnya. Makin lebat pula air mata saya jatuh membasahi pipi bam bam saya. Tak sangka anak kecil itu boleh tersentuh hati sebegitu. Saya memang selalu cubit manja pipi Ayrinn dan mengatakan dia comel, sebab pipinya bam bam dan dia ada tahi lalat kecil di pipi kirinya. Senyumannya segitiga. Jadi, tiada sebab Ayrinn mempertikaikan sebaik-baik kejadian Allah SWT ini.

"Sayang mama, Ayrinn tak perlu jadi putih untuk comel tau. Allah dah jadikan Ayraa macam tu, Ayrinn macam ni. Semua orang pun comel! Lepas ni, mama tak mau dengar Ayrinn nak jadi putih macam Ayraa tau. Sebab... sekarang ni pun Ayrinn dah comel!" Nyata, dia mendengar apa yang saya cuba sampaikan. Hingga kini, dia tidak lagi berkata seumpama itu. Cuma dia akan tanya, "Mama, Ayrinn comel tak?" selepas dia pakai bedak, sikat rambut, atau kenakan sepit pada rambutnya. Dia tidak lagi rendah diri, malah lebih berasa yakin dengan diri sendiri. Sayang mama, boleh!

Kesimpulannya:
Tip Tingkatkan Keyakinan Diri Anak-anak

- Anak-anak perlukan pujian dan dorongan untuk mereka ke hadapan dan lebih berjaya dalam hidup. Bukan untuk dilabelkan dengan kata-kata negatif. Itu hanya akan melemahkan semangat dan merendahkan keyakinan dirinya. Percayalah! Anak kecil atau besar memang dambakan pujian. Mereka akan bertindak lebih hebat dan akan cuba menarik perhatian kita dengan kejayaan mereka. Biarkan doa kita mengiringi setiap jejak langkah mereka.
- Sentiasalah mendengar kata hati anak-anak. Mereka suka apabila kita mendengar cerita mereka di sekolah, suka melahirkan masalah mereka, suka menzahirkan perasaan mereka. Dan ... mereka akan menghargai setiap PERHATIAN yang kita berikan kepada mereka. Luanglah masa untuk mendengar kata hati dan cerita mereka, jika kita ingin mereka mendengar luahan hati dan cerita kita pula saat kita berada di penghujung usia kelak.
- Ajar mereka menghargai ciptaan Allah SWT. Semua yang Allah ciptakan itu elok lagi indah kejadiannya.
- Usah membanding-bandingkan antara anak-anak dan juga anak-anak orang lain (tak kira sepupu, anak jiran, anak kawan dan seumpamanya.) Percayalah! Anak-anak kita ada bakat dan potensi yang tersendiri. Paling penting, DOAkan mereka dalam apa jua bidang yang mereka pilih. Pantau dan beri perhatian pada setiap langkah mereka dan berikan nasihat untuk mereka pilih mana yang terbaik. *Anak-anak kurang suka jika kita menentukan hala tuju masa depan mereka. Kita beri pandangan, pilihan (mengikut landasan Al Quran dan As-Sunnah). Biarlah mereka yang menentukan.

Satu kisah lagi yang saya pelajari ketika berkunjung ke rumah makcik saya semalam mengenai anak-anak; - Orang tua akan cepat tersinggung dan berasa sedih apabila anak mengajar mereka sesuatu benda baru, tetapi lambat nak faham. Contoh; seorang anak mengajar ibunya mengendalikan telefon bimbit. Si anak menggunakan nada yang tinggi kerana si ibu 'lambat' dapat apa yang anak ajar. Maklumlah, di hujung usia. Dalam kes ini, si anak berkata, "Dulu pun ibu ajar macam ni dengan saya." Ibu pula menjawab, "Tapi, dengan cara tu kamu boleh belajar pandai." Lihat! Situasi ini menggambarkan kaitan putaran hidup. Jadi, untuk mengelakkan kita tersinggung dan berasa hati/ sedih dengan anak, maka kita (nasihat pada diri sendiri juga) sebagai ibu bapa ini hendaklah mengajar anak-anak dengan intonasi yang sederhana agar anak-anak belajar perkara yang sama.

Sesungguhnya, anak-anak itu suci murni. Mereka punya hati dan perasaan. Sayangilah mereka jika kita menginginkan kasih sayang mereka, lebih-lebih lagi saat kita berada pada penghujung usia kelak (semoga Allah SWT panjangkan umur kami semua untuk melihat kejayaan anak-anak dan merasai kasih sayang mereka sehingga hujung nyawa. Aamiin.

Monday, January 06, 2014

"Aku terima nikahnya..."


"Aku terima nikahnya..." Syahdu, sayu saat bait-bait itu dilafazkan semasa ijab dan qabul. Antara detik menyentap rasa dalam hidup ini selain sayu masa nak pergi asrama tinggalkan ibu, ayah, adik-beradik dan basikal baru! Hik. Tanggal 29 Disember 2013, satu-satunya adik perempuan saya dan bongsu pula (saya ada seorang abang dan 2 adik lelaki)telah melangsungkan perkahwinannya. Kira, mak ayah boleh menghela nafas lega kerana kami semua sudah berkahwin. Kiranya, tak perlu pening nak memikirkan kenduri kendara. Lagipun, mak ayah saya dah berusia benar. Kasihan mereka.

Sekali lafaz, mereka sah menjadi suami dan isteri. Alhamdulillah...

Menanti dalam penuh debaran. Giller tak berdebar...!

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya baru menyambut ulang tahun, adik pula melangsungkan perkahwinan. Nanti, kami bolehlah sambut anniversary bersama-sama. Hehehe... Untuk majlis perkahwinan ini, jiran-jiran di kawasan rumah mak saya di Shah Alam bergotong-royong mengadakan kenduri. Ini masih diamalkan oleh sesetengah masyarakat di sini yang masih kuat semangat kejiranannya.

Sebanyak 9 khemah telah dipasang untuk memudahkan trafik tetamu yang datang untuk keselesaan mereka menghadapi hidangan yang disediakan. Mak memang pentingkan ini. Makan minum dan keselesaan tetamu. Baginya, biarlah tak cantik khemah, asalkan tetamu mendapat yang sewajarnya.

Ini jer la yang sempat kami snap gambar keluarga. Maklumlah... orang dapur, kan kak long (kak ipar saya)? Hehehe.. Husband pun tak sempat tukar baju tema. Pengantin dah sampai. Maklumlah, jadi kendarat...

Mak dan ayah merakamkan kenangan bersama pengantin. Susah nak tarik mereka ni sebab orang ramai nak salam keruk-keruk. Tahu tak salam keruk-keruk? Hahaha... cer tanya ibu bapa anda.
Dulu, along saya telah menaja kek perkahwinan saya, kini kami pula menaja kek perkahwinan adik bongsu kami memandangkan goodies dan lain-lainnya telah mak saya sediakan melalui duit hantaran. Lagipun mak tak gemar membazir, atau membuat goodies yang akhirnya orang buang sahaja. Jika goodies terlalu mahal pun, mak kurang gemar. Katanya, lebih baik bersederhana. Kami akur dengan kata-katanya. Betul juga kata orang tua. Buat bersederhana, yang lebih penting tidak berhutang untuk berkahwin dengan perbelanjaan yang terlebih-lebih. Goodies pun, mak berikan makanan dan air kotak. Katanya, kenyang orang bawa balik dan makan. Setiap orang berbeza pendapat. Masing-masing ada pendapat dan citarasa sendiri. Terpulang kepada individu. Walaupun berwang, namun jika bersederhana, itu kan lebih baik.
Kek rona biru turkuois plus ros merah kuning. Wording fondant.


Inilah kek 2- tier yang saya tempah dari Jasmeen HomeDelight. Saya minta warna turkuois dan tulisan diletakkan fondant. Memang sweet sangat warnanya. Ini pula gambar pada malam pernikahan.


Dan kek berbentuk tas tangan ini daripada pihak lelaki. Sedap juga rasa kek coklatnya. Saya pula suka fondant nya yang memang manis. Awas, jangan makan banyak-banyak!

Buat Deq Nor dan Ayie, selamat pengantin baru. Semoga berbahagia hingga ke syurga. Aameen.


Mak dan pak saudara sebelah mak kami.





Our 8th Wedding Anniversary

Alhamdulillah, tanggal 25 Disember 2013, genap 8 tahun usia perkahwinan kami. Syukur pada Allah kerana memberi rahmat atas ikatan pernikahan ini, dan memberikan 3 permata yang sangat berharga buat kami ini. Kata orang, hidup tak akan berseri tanpa kasih sayang. Ye! Kasih sayang itu lebih berharga daripada segala-galanya. Tanpa kasih sayang, sesetengah orang boleh jadi tak keruan.  Untuk tahun ini, kami merasakan lebih meriah. Manakan tidaknya, kehadiran 3 cahaya mata penyeri dan pelengkap kehidupan kami. Jika dilihat kembali rakaman lensa yang sempat dirakam oleh jurugambar 8 tahun yang lalu, sesungguhnya saya rasakan putaran kehidupan ini sangat laju. Serasa baru sahaja kami melangsungkan perkahwinan dengan ikatan yang sah, dan kini kami sudah dikelilingi oleh anak-anak anugerah Allah yang comel-comel, sihat dan sempurna. Subhanallah, Maha Suci Allah. Terima kasih Allah atas kurniaan ini. Jangan Kau menduga aku (dan kami) dengan sesuatu yang tidak mampu kami harungi. Syukur pada-Mu atas apa yang kami peroleh selama ini. 

Kad perkahwinan kami yang masih disimpan dalam album perkahwinan hingga kini, dengan tema biru gelap dan tulisan silver timbul. Ada bau wangi lagi. Envelope pun biru cair, bau wangi. Hihihi...Masa tu trend kad macam ni. :)


Menyingkap kembali persandingan kami, ye, saya memilih warna biru. Sememangnya itulah warna yang saya pilih dari awal. Tidak kira saya bakal berkahwin dengan siapa pun jodoh saya, tema biru dan putih itulah warna yang akan saya guna sempena majlis resepsi kami.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Allah menetapkan itulah jodoh saya, sesungguhnya itulah yang terbaik buat saya. Seorang suami yang budiman, tidak pandai bermain kata, namun kalau bermesej, dialah superhero romantika de amor. Semasa berkenalan, saya tidak tahu dia begitu. Tapi, seusai perkahwinan, barulah saya tahu dalam hati dia ada taman. Hihihi... Biarpun tak mengucapkannya di bibir, dan ber'darling' bagai hanya di SMS, namun saya tahu dia suami dan bapa yang terbaik buat kami semua. Semoga abang/papa dapat membimbing kami sekelarga ke arah jalan yang diredai Allah.

Buat Adam, Ayrinn, & Ayraa (setakat entri ini ditulis), seandainya mama telah tiada, dan kamu semua membaca entri ini, mama nak kamu tahu yang papa sangat sayang kamu semua. Masa kamu kecil-kecil antara usia Adam 7 - Ayrinn 5, Ayraa - 1.5 tahun, papa kamu ni lucu. Papa kamu akan berikan apa saja yang kamu minta. Papa kamu suka bermain badminton dan bola sepak dalam rumah dengan Adam. Papa kamu akan buatkan susu untuk kamu semua masa kamu kecil untuk semua anak-anaknya sebab dia tak nak mama penat bangun malam. Sebab dia tak nak mama letih pergi kerja keesokan hari. Jadi, papa kamu akan bangun tengah malam untuk buatkan susu kamu semua. Papa kamu juga selalu menyebelahi kamu seandainya ada perkara yang mama tidak benarkan kamu buat.

Selalunya, orang kata tak seorang bapa tidak pandai menunjukkan kasih sayangnya. Ye, memang ada benarnya. Mama selalu cakap pada papa kamu, selalu peluk anak-anak dan cium mereka seupaya mereka rasakan kasih sayang kita. Kadang-kadang papa kamu akan peluk bahu Adam masa berjalan dan adakala papa kamu akan tunjukkan cara cium pipi yang betul pada Adam (sedangkan mama tahu yang papa kamu nak cium kamu betul-betul, tapi kadang-kadang dia tak nak tunjukkan. Dengan anak-anak mama, memang mama zahirkan kasih sayang mama. Tapi, papa caranya berbeza. Mama tahu dia sayang sangat kita semua, sebab papa pernah menangis di depan mama saat emak papa mengalami suatu peristiwa. Dan dia juga menangis depan mama, saat anak saudaranya dibawa pulang ke kampung, tidak lagi tinggal bersama opahnya.

Ye, mama tahu dia seorang yang amat penyayang. Sedangkan dengan anak saudara pun dia boleh tersentuh. Sungguh! Luaran tidak kelihatan, namun dalaman hanya Allah yang tahu. Sungguh, papa kamu akan menuruti Adam dari kejauhan (sewaktu Adam baru masuk tahun 1 minggu lepas). Hari kedua, papa sanggup melihat dari jauh, Adam tahu ke tak menuju ke kantin, Adam tahu tak di mana nak tunggu Cik Pah yang akan menjemput Adam dan rakan-rakan pulang dari sekolah. Dan bagaimana papa melihat Adam menangis di sekolah kerana pakaian sekolah terkena air hujan. Sepatutnya Adam, tahun 1, tak digalakkan ke masjid untuk solat Jumaat. Namun, ajakan kawan tahun 2 Adam turuti. Bagus anak mama. Air hujan sedikit sahaja, Adam. Lumrah, pergi sekolah memang begitu. Usah menangis sayang... akan ada pelbagai onak dan duri yang bakal dikau tempuhi. Yang penting, jaga peribadi, dapatkan restu mama dan papa, jaga solat. Insya-Allah, dipermudahkan jalanmu nak...

Resepsi sebelah keluarga suami. Gambar mak ayah saya bersama menantunya.
Merenung kembali gambar-gambar perkahwinan 8 tahun lalu, sebak rasa di jiwa. Kehidupan di dunia takkan lama. Suami dan anak-anak hanyalah perhiasan dunia. Perlu bersiap sedia, bila-bila masa sahaja Allah boleh menjemput mereka. Saya perlu bersedia. Tidak pasti siapa yang akan pergi dulu. Cuma perlu sematkan dalam diri, kita hanya sendiri juga akhirnya nanti.

PIC: IHSAN GOOGLE

Ulang tahun perkahwinan ke-8, kami sempat makan bersama-sama anak-anak. Itulah masa paling berharga, pada saat berkumpul bersama anak-anak, melihat mereka makan, bergembira, menyayangi antara satu sama lain, tidak tergambar perasaan itu. Usia kami makin menginjak, bererti masa kami sudah tidak lama di dunia ini. Harap-harapnya, kami semua diberikan usia yang panjang untuk melihat kebahagiaan anak-anak kami dan dijemput saat kami telah mengumpul pahala dan bersedia untuk disoal oleh Mungkar dan Nakir.

HAPPY FAMILY ON OUR 8TH WEDDING ANNIVERSARY!

Ayrinn, saya dan Ayraa.

Ayraa makan spagethi. Sedap sangat! Mama pun menyibuk nak makan.

Aksi mereka bertiga buat kami tak kering gusi. Dok menghadap youtube, buat gwiyomi.

Tuesday, December 17, 2013

DAISO Aku Datang...

Siapa suka Pink? Angkat kuku. Hahaha... Ramai yang suka merah jambu, kan? Pink nowadays, also suit with men. Suami saya pun pakai kemeja pink. I suruh, dia ok saja. Hik.

Peralatan ini saya beli ketika KC saya baru siap. Konon- konon bila KC dah merah, peralatan lain nak merah jambu pula. Aduh... Hantam sajalah. Citarasa sendiri. Sendiri yang nak masuk dapur, sendiri yang guna, sendiri yang suka! ;)
Bakul sampah tu sayang pula nak guna, so saya simpan dulu sehingga Wet Kitchen saya siap nanti. Buat masa ini, terpaksa guna dulu tong sampah bertutup, tapi tetap merah jambu! Alas kaki tu untuk alas kaki masa mencuci pinggan. Jaga tapak kaki, sejuk....katanya. Bangku pink tu untuk kids naik untuk basuh tangan dan cuci pinggan. 

Spatula ini sering saya gunakan. Material jenis getah. Memang pantas mengaup lebihan adunan. Tak delah rugi kan. 

Sarung tangan ni pun selalu guna. Ada yang terkena panas oven pun. Huk.

Sebenarnya, banyak lagi yang dibeli. Tapi kali ini cuma fokus barangan berwarna PINK sahaja. Nanti, nak pergi lagi. Paling dekat, DAISO Setia Alam. Dekat sangat dengan Meru Atau Bukit Kapar, Klang. Memang rambang mata sebab semuanya cuma RM5! Tapi kena pandai memilih barangan, sebab ada sesetengah barangan tak sesuai dengan harganya, rasa mahal untuk barangan yang kecil. Tapi, sempat saya beli kain felt di situ. Memang murah dan berbaloi. Ikut kualiti juga.

Monday, December 16, 2013

Book Mark Felt Craft

Satu lagi felt craft telah terhasil. Teruja! Bunga ini saya buat sendiri. Lipat, jahit jelujur dan gunting-gunting, cantumkan, lekatkan. Taraa! Dah siap. Terpulang anda nak letak bentuk apa kat atas bunga tu. Inilah dia BOOK MARK hasil rekaan fasyafazida craft. Hehehe...


Cadangnya, dah siap 100pcs ni, nak Letak dan jual koperasi sekolah. Agak-agaknya, kanak-kanak sekolah rendah suka tak dengan book mark ni? Nantilah cuba pasaran di sekolah rendah berdekatan. ;)


Car Signage Felt Craft

Entah kenapa, saya masih lagi tercari-cari apa lagi yang boleh dibuat daripada kain felt ini. Cari punya car, akhirnya saya membuat keputusan untuk membuat 'car signage'. Walaupun simple, tapi kali ini saya gunakan teknik jahitan. Nampaknya, jahitan jelujur lebih menampakkan hadil yang lebih menarik. Lagipun, jimat gam saya. Hehehe... Lihatlah...Lagi hasil felt craft yang mengujakan saya. Taraa...

Pada mulanya, saya hanya cuba satu design. Makin lama makin menarik pula. Walaupun tidaklah hebat mana, tapi saya suka sebab saya tahu yang saya juga mampu buat. Saya akan cuba pelbagai untuk menampakkan rekaan yang pelbagai. Dek kerana warna kain felt yang terhad ada dalam simpanan saya, maka inilah saja hasilnya.Pelbagai design dan warna.



Lekatkan pada cermin kereta.
         

Lagi dan lagi... nnt kita buat kaler dan design lain. :)

Berminat? Boleh buat pesanan dengan saya. Just PM saya di facebook. (fasyafazida)

Friday, November 22, 2013

Gila 'Felt Craft'

Dulu, zaman kecil saya dipenuhi dengan permainan masak-masak yang emak beli di pasar malam. Kalau tak pun, saya akan bermain dengan sepupu-sepupu main masak-masak di tepi rumah. Masak kangkung yang senang didapati di tepi parit. Masak pula menggunakan penutup tin yang didirikan di atas batu-batu kecil. Kemudian, sepupu yang besar akan menyalakan api. Seronok tak terkira tatkala mendengar bunyi ‘cher..cher...’ apabila air direnjis di atas penutup tin Milo yang sudah panas. Kemudian, kami memasukkan daun kangkung dan dimasak hingga layu. Sungguh manis saat-saat itu apabila dikenang.

Masuk ke sekolah rendah, saya gemar membuat penanda buku. Rakan saya Zaihawati Hamad akan melukis pelbagai jenis baju dan warnakan. Kemudian, gunting dan lekatkan di atas kad manila berwarni-warni yang ditebuk hujungnya untuk diletakkan riben. Ingat-ingat lupa, rasanya kami turut menjual penanda buku tersebut kepada rakan-rakan sekolah. :D

Menginjak ke sekolah menengah, saya pula gigih ke kedai menjual benang dan jahit baju seorang auntie berbangsa Cina di Seksyen 16, Shah Alam. Masih wujud lagi kedai itu hingga kini. Di hadapan RHB. Pada mulanya, saya tertarik melihat rantai kunci yang berbentuk udang, bentuk hati, dan lain-lain lagi. Di hujungnya ada loceng. Ia dijalin menggunakan tali satin. Baik hati sungguh hati auntie itu apabila dia berbesar hati untuk mengajar saya menjalin dan menganyam. Saya borong terus peralatan untuk membuat rantai kunci tersebut. Berkobar-kobar untuk buat di rumah. Saya amat puas hati dengan hasil kerja saya. Setelah siap, saya pek kan di dalam plastik lutsinar dan saya staple. Kemudian, bahagian paling best adalah saya minta satu-satunya adik perempuan saya untuk menjual kepada rakan-rakannya di sekolah. Saya teruja kerana ia mendapat permintaan dengan pelbagai warna yang mereka minta. Memang seronok sangat rasanya apabila hasil kraf tangan kita disukai orang.

Masa sekolah juga, saya suka hasilkan buku skrap. Macam-macam yang saya buat. Kalau buat buku biodata, saya akan lukis dan tulis dengan pelbagai jenis font dan warna. (Masa itu memang amat popular! Siapa takde buku biodata, memang tak sahlah. ;D) Adakala, saya gemar hasilkan kad ucapan sendiri menggunakan kertas warna-warni dan gunting yang bilahnya mempunyai corak. Masa tu, saya hanya mampu beli corak bergerigi yang biasa tu saja. Banyak juga untuk dikenang.

Kini, saya nak bercerita yang saya telah mula hasilkan kraf felt sendiri. Jika dulu, suka juga untuk mencuba. Namun, kekangan masa dan kesibukan keluarga dengan 3 permata comel membuatkan saya kekurangan masa berharga untuk membuat hobi yang saya suka. Segala-galanya bermula apabila saya isikan kolum dalam majalah saya; Dara.com untuk ruangan 16 halaman Pull Out. Saya isikan tema DIY, dan ada yang menghasilkan kraf. Sejak itu, saya mula tertarik untuk mencuba. Kesempatan yang ada ketika Cik Fieqa daripada Fieqa Hand Craft yang menaja hadiah Cabutan Bertuah sempena Bengkel Daralista Kreatif pada 9 November lalu lebih membuatkan saya teruja untuk terus menghasilkannya. Namun, kesukaran di butik online untuk mendapatkan kertas felt warna florescent menyebabkan aktiviti terbantut. Saya pula jenis orang yang tak sabar dan tak boleh tunggu lama. Nak buat time tu juga. :)

Kesempatan mencari hadiah untuk rakan di kedai bunga riben telah ‘terserempakkan’ saya dengan kertas felt yang berwarna ceria. Apalagi, macam nak gila saya memborong. Dua orang lagi rakan terkejut dengan tindakan saya. Saya? Saya suka...! Hihihi!. Malam itu, saya terus menghasilkan dua hasil kraf yang saya rasa OK untuk level beginner-crafter mac am saya. Hik! Ingatkan nak buat penanda buku lollipop, tapi kayu batang aiskrim pula takde. Jadi, ada bingkai putih kosong dari IKEA. Apalagi, saya pun lukis apa-apa yang saya terfikir. Taraa... inilah hasilnya. Paling menggembirakan, malam Khamis itu, Adam yang selalunya leka depan tv, kini setia bersama saya dan adiknya Ayrinn di dalam biliknya, bersama-sama saya ‘menyibuk’ ketika saya membuat kraf. Papa nya pula tersenyum sebab tiada lagi orang yang ‘conquer’ alat kawalan tv malam itu. :D



Selepas letak gambar Adam & kawan-kawan di Tadika Islam Pusat Tahfiz aL-Fudhail ketika berumur 5 tahun.

Felt kraf kedua saya hasilkan dengan menggunakan buku nota yang memang ada dalam simpanan. Saya pun balut dan mula mereka-reka tema apa yang saya nak buat. Saya belasah saja sebab tak ada perancangan nak buat apa. Inilah hasilnya. Tapi, dah pukul 12 malam. Gam pun dah habis. Saya belum susun dan tampal lagi objek-objek ni.

p/s: Butang tu saya ambil dari t-shirt yang dah tak pakai sebab kedai tu tak jual butang kraf. Nanti saya beli online di Buttonplanet.


Ala 3D la konon2...:D

Belum gam dan susun lagi. Idea please... :P
Impian: Next project, Nak buat souvenir eg book mark lolipop, key chain, pillow, etc. utk open order. Boleh buat gift utk birthday, baby shower, etc. Ada yang berminat ke? Kih...kih...pm please. Cewah!

Thursday, October 31, 2013

Dah set FAVICON Icon untuk Blog Anda? Saya sudah...

Bagaimana nak set Favicon Icon untuk Blogger dan WebSite?

Favicon adalah ikon atau logo yang terpapar di sebelah kiri nama website anda dalam ‘browser window’ yang lazimnya digunakan oleh semua website. Favicon logo merupakan salah satu jenis penjenamaan blog atau website anda. Ini kerana, apabila pengguna telah membuka banyak halaman dalam browser, favicon icon akan membantu memudahkan navigasi hanya dengan melihat ikon dan terus menukar halaman yang dikehendaki.


Credit to HOT MAMA siti zurina mat saman.blogspot. Sebab kat blog sendiri cam tak nampak jer Favicon Icon saya. ;) Budak baru belajar.

Jika anda seorang penulis blog (blogger) yang baru di dalam dunia blog (ataupun pembangun website), anda perlu menukar ‘default favicon icon’ kepada ikon anda sendiri. Sebagai contoh, facebook ada ‘f berwarna biru’, google ada ‘ikon G’, Wikipedia ada ‘ikon W’, dan sebagainya. Favicon memainkan peranan dalam blog atau website anda. Tanpa FAVICON, blog atau website anda TIADA NILAI

Ini antara FREE ONLINETOOLS untuk anda menghasilkan FAVICON Blog atau Website anda: Boleh rujuk di MY TUTORIALS CAFE  


1. Favicon Generator and Gallery
2. Buddy Icon ** saya pilih ini **
3. Favicon editor
4. Animated Favicon
5. Photoshop Tutorial
6. Favicon Maker v1
7. Dynamic Drive
8. iConvert
9. GenFavicon
10. Inline Icon Maker
11. Convertico
12. Favicon
dan banyak lagi. Google ek.:)

Bagaimana set Favicon untuk Blog bagi Penulis Blog?

Langkah 1: Selepas anda ‘create’ dan ‘save’ imej favicon dalam computer anda, log masuk ke dalam akaun blog anda.

Langkah 2: Buka DASHBOARD blog. Di bahagian kiri skrin. Klik ‘LAYOUT’.

Langkah 3: Di sebelah kiri tetingkap blog design, anda akan dapat lihat favicon dengan ‘blue Edit link’.
Klik ‘Edit’ dan anda akan diarahkan untuk memilih file favicon.
Pilih file dan klik ‘Save’. Buka blog anda dan ‘blogger favicon icon’ anda akan dipaparkan berserta URL blog.

Tadaa..ini Favicon Icon saya. Senang nak selak page saya nanti ye. :)

Wednesday, October 30, 2013

Deko Apa? Deko kek daaa...

Kalau nak tanya buat kek, dah banyak kali. Tapi kalau tanya mendekorasi kek, inilah pertama kali. Alkisahnya, kek ini saya hasilkan awal tahun lalu. Tapi, saya nak berkongsi kegembiraan saya dengan anda semua. Ini permintaan dari En Suami. Suatu petang, kami dijemput oleh kakak En Suami untuk datang ke rumahnya meraikan hari jadi ibu mereka (mak mertua saya) dan anak-anak buah. Kali ini, kakak ipar membuat sendiri kek span dan letakkan ising serta buah pic di dalam lapisan kek. Kami makan hidangan nasi ayam juga petang itu. Saya suka sangat fresh creamnya, begitu juga dengan En Suami kerana tidak terasa berminyak seperti aising di kedai kek biasa dan tidak muak memakannya.

Lantas, beberapa hari kemudian, En Suami terasa ingin makan lagi kek tersebut. "Sayang pandai buat tak kek macam kita makan rumah Kak Ida tu?" Saya: "Oh kek tu. Sayang cubalah." Saya pantang kalau En Suami membuat permintaan, pasti akan saya cuba tunaikan walaupun saya tak pernah buat. Begitu juga dengan permintaan anak-anak dan terutama MAK saya (kawan-kawan pun, tak sampai hati saya nak tolak permintaan mereka). Kalau boleh, saya nak bahagiakan mereka sehabis baik sementara umur saya masih ada. Insya-Allah.

Maka, dengan gigihnya saya pun ..apalagi... jalankan tugas pertama yang saya amat suka, Google! Saya memang suka survey, google. Lalu, terhasillah kek butter beraising ini dengan deko ala amatur ini. Paling penting, suka fresh creamnya. Ini guna non-dairy whipping cream. Boleh dibeli di bakery. Simpan di tempat beku. Guna mixer, putar sampai 'bertanduk'. Saya dapat tip, untuk bagi lambat cair, campur gelatin yang dilarutkan. Semasa membuat kek butter (saya tak buat kek span), saya kreatifkanlah diri (kononnya) untuk menghasilkan kek yang berwarna-warni apabila dipotong. *Ntahapahapa*kan? ;) Maka terhasillah kek yang sebegini rupanya.


Kek butter with fresh cream ala Fasya Fazida. Psstt..abaikan dekorasi yang tak berapa nak cumil. Masuk mulut, ngap, bercampur jua di dalam perut, kan? Hehehe...


Tadaa...tersingkaplah rahsia warna-warni kek butter ini. Cumil! I looike...

Beli lampu, bunga murah-murah!

Siapa yang tak minat mendekorasi rumah? Saya rasa semua orang tak kira lelaki atau wanita berminat untuk mendekorasi rumah. Yelah, siapa yang tak inginkan mahligai yang indah, kan? Sebaik sahaja pulang dari kerja, damai sahaja saat melangkah masuk ke rumah. Hilang sudah semua tekanan yang ada siang tadi. Bagi saya pula, saya minat kerja-kerja kraf tangan dan juga pastinya mendekorasi. Cuma ilmu saja yang tak cukup sangat lagi. Majalah yang saya sering jadikan rujukan tentunya Impiana, Dapur Impiana, Apartment Impiana dan Laman Impiana.

Jika dahulu, seawal perkahwinan, saya rela porch rumah dilepa simen sepenuhnya dek kerana tidak mahu rumput memanjang dan kemalasan diri untuk menjaga pokok-pokok bunga. Sempat mak saya lontarkan sindiran, "rumah yang takde tanam pokok-pokok bunga ni takde seri". Memang benar kata emak, sejak itu saya pun mula menanam tanaman seperti serai, daun pandan, cili padi dan beberapa tanamam jenis berdaun untuk menghiasi laman rumah yang telah dilepa simen sepenuhnya. Tersenyum lebar saya! Wajah rumah saya semakin berseri dengan adanya dedaunan hijau menghiasi sudut tepi laman kami. Habuk pun berkurangan kerana mungkin pokok-pokok tersebut membantu menahan habuk dan pasir dari memasuki pintu sliding rumah. Dalam hati terdetik, 'kalau ada rumput, lagi cantik. Rumput pun boleh berfungsi untuk memerangkap habuk.'

Oklah, kita tinggalkan soal dedaunan pokok itu. Saya akan cerita dalam entri lain. Dalam entri ni sebenarnya saya nak cerita tentang kegembiraan saya tatkala mendapat 2 objek di bawah ini. Alkisahnya, saya dan rakan sekerja ke Aeon Big Seksyen 23, Shah Alam untuk mencari dres. Biasalah, setiap kali gaji haruslah 'reward' diri. ;) Sanggup kami makan ala-ala sewaktu lunch demi mencari dres yang diinginkan. Cari punya cari, namun tak berkenan di hati. Saya ada jugalah beli sehelai. Bolehlah... Akhirnya, kekecewaan kami bertukar kegembiraan apabila kami memasuki sebuah kedai ala English Deco di dalam Aeon Big, Seksyen 23, Shah Alam. Diskaun untuk member pulak tu. Kebetulan saya ahli. Apalagi, kami pun cuci mata dan akhirnya ada juga yang menangkap di hati.

Sebenarnya, anak saya Adam ada minta dibelikan lampu tidur untuk biliknya. Pada mulanya, saya pinjam ambil sahaja lampu tidur corak damask hitam yang kami letak di ruang tamu. Tapi, disebabkan saiznya yang besar dan lampunya agak terang, tak sesuai pula rasanya diletakkan di dalam biliknya. Di sebabkan terjumpa lampu inilah yang membuatkan saya terus 'rembat'. Pulang ke rumah, saya katakan pada Adam, "Mama ada surprise untuk Adam!" Matanya berkaca. Sangat teruja. "Mama, mama beli tak lampu tidur Adam?" tanya si anak bujang saya. "Eh, budak ni macam tahu-tahu saja aku belikan lampu untuk dia. Hai ..anak..."
Apabila saya buka kotak dan tunjukkan padanya, wajahnya terus bertukar keriangan. Ya! Jelas terpancar keriangannya. Malam itu, tidur Adam lena bertemankan lampu rona ungu itu.  

Lampu tidur ini saya berjaya dapatkan dengan harga runtuh, hanya RM10 seunit!
Jika dahulu, saya tidak gemar bunga-bunga menghiasi di dalam rumah. Cukup sekadar hiasan bebola warna-warni yang bertangkai menghiasi meja bulat. Mak saya kata lagi, "dalam rumah tak berseri kalau takde jambangan bunga." Tapi sebaliknya, ayah saya kata, "bunga banyak-banyak pun jadi tempat simpan nyamuk." Saya tergelak besar! Tapi, saya hormati kata-kata emak. Memang ada benarnya. Mungkin satu jambangan juga sudah memadai bagi yang tak minat bunga macam saya. Terus naik seri rumah saya. Hehehe..cewah!
Bunga orkid, tak dapat yang segar, dapat yang ini pun jadilah. Luv! Luv! :) Pasu ni hanya RM16.90. Orkid harga setangkai dalam RM10 sebab diskaun 50%. Saya beli 2 tangkai. Batu-batu putih tu pun murah saja. Lupa dah harganya.


Sunday, October 27, 2013

Akhirnya... Dapat Kabinet Dapur Idaman

Kata orang (dan pakar kuasa minda;-) kalau hendak perkara atau benda yang menjadi idaman atau impian kita terlaksana dan diperoleh, kita kena selalu ingat dan tampal impian tersebut di dalam minda dan di tempat yang kita mudah lihat. Insya-Allah pasti akan berhasil. Bezanya, cuma lambat atau cepat. Kalau ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.

Kabinet dapur KC kitchen cabinet berona merah menjadi idaman hati saya. Penat google, selak majalah IMPIANA & Dapur Impiana. Adakala terpaut juga pada rona putih, kadang-kadang kalau kena gaya, terpaut pula pada rona coklat. Beginilah hati. Bukan mudah untuk buat pilihan. Bajet pun kena difikirkan.

Saya tahu ramai yang suka survey untuk cari design kabinet dapur yang diinginkan. Macam saya dululah. Hehehe... Ini tambah satu lagi perkongsian untuk anda yang sedang mencari-cari kitchen cabinet idaman. Kabinet dapur ini akhirnya saya tempah dari seorang yang memasang panel di satu karnival. Dia yang kami kenali sebagai Wak rupa-rupanya beroperasi di kedai kecilnya di Bukit Raja. Setelah terpesona dengan contoh kabinet daripada gambar albumnya, dan juga melihat sebut harga (quotation) secara kasar, kami yakin untuk menempah dengannya. Sebab apa harganya murah daripada yang ada di pasaran? Sebab, Wak potong sendiri pintu kabinet dan pekerjanya anak buahnya. Memang berbaloilah harga yang saya dapat. Plus, Wak bagi percuma pull out cabinet tu.

Sebelah kanan ni panjangnya 12 kaki.
Saya menggunakan ruang dapur ini sepenuhnya memandangkan saya dan suami bercadang untuk menjadikan dapur ini sebagai dapur kering (wet kitchen) untuk masa akan datang. Top diperbuat daripada 2x2 black tiles. Nampak seperti konkrit, tapi sebaliknya tidak. Ini pun Kali pertama saya melihatnya. Jika dilihat Dari dekat, top tu di skrew untuk melekatkannya. Hasilnya kemas dan kami berpuas hati dengannya.

Sebelah sini hampir 12kaki. Lebih kurang 11kaki lebih. Tapi buat bawah je. Sinki berkembar.
Saya cadangkan tak usah letak sinki yang Ada tempat letak sudu di tengah tu, sebab makan space. Kalau rumah besar, OK.sesuai. #pengalaman rakan saya. Menyesal tak sudah... ;)

Pull out cabinet yang saya berjaya dapatkannya secara percuma ! Thanks...
Tip Pilih Kabinet Dapur (kitchen cabinet)
1- Kenal pasti kegunaan ruang dapur anda, sama ada untuk dapur basah atau dapur kering (atau kegunaan kedua-duanya sekali).
2- Kenal pasti material yang anda pilih untuk dapur anda. Paling penting untuk dapur basah. Pilihlah table top konkrit dengan 2x2 tiles, ataupun Granite, marble, solid surface. Mieco top Ada yang kata ok, tapi tengok cara penggunaan. Sebab lama-lama Kayu Akan reput bila selalu terkena air. Untuk dapur kering, tak perlu risau sangat. Apa jua material pun boleh. Boleh juga rujuk di laman ini http://kabinetdapur4u.blogspot.com/2011/02/table-top.html. 
3- Pemilihan warna pun penting. Di samping menaikkan mood memasak, ia juga menampilkan personaliti seseorang. *rona merah putih menampilkan diri saya yang ceria! Hehehe
Anda juga boleh menggabungkan warna pilihan. Cakap saja pada designer, pasti dia boleh menghasilkannya melalui lakaran 3D.
4- Rekaan juga memainkan peranan penting. Ada ruang dapur yang besar merupakan bonus untuk anda membuat island pada dapur. Saya suka! Ada yang suka membina tall unit untuk memasukkan barangan kering. Lebih mudah untuk mengambil kerana rak yang boleh ditarik keluar. Island, Boleh rujuk di laman ini http://www.isdkabinetdapur.com/susun-atur-dapur.html. Atau  http://kabinetdapurmy.blogspot.com/
5- Pilihan pelbagai aksesori juga boleh anda pilih. Google dan anda akan dapati banyak pilihan. Untuk pintu dapur, boleh pilih jenis built in (macam saya supaya anak kecil tak main buka tutup pintu kabinet, dia tak dapat cari tombol..hehe) atau pilihan yang ada pemenang atau tombol, bergantung kepada jenis kabinet anda. Anda juga boleh dapatkan pull out cabinet secara PERCUMA jika anda bijak tawar-menawar dengan pereka kabinet anda. ;)

Thursday, October 24, 2013

Pindah Rumah Lagi???


Wah! Wah! Wah! Diam tak diam, sudah masuk rumah baru pada Mei 2012. Ketika itu, saya baru berpantang anak ketiga lebih kurang sebulan. Adik-beradik dan keluarga serta makcik pakcik menolong kami berpindah. Mujur saya telah mengemas barang-barang sebelum bersalin.

Bagi kami sekeluarga, semenjak berkahwin, kami pernah merasa menduduki 3 buah rumah. Pertama, sebaik sahaja kami berkahwin, kami terus menyewa beli sebuah rumah di Taman Sri Puteri, Meru, Klang. Dalam tempoh lebih kurang sebulan sebelum bernikah, kami terlebih dahulu mencari-cari rumah untuk kami diami selepas berkahwin. Alhamdulillah, sudah rezeki kami, akhirnya kami berjaya menemui rumah dengan harga yang bersesuaian. Walaupun rumah tersebut rumah 'second-hand', tetapi amat selesa untuk kami berdua diami. Memang tujuan kami tidak mahu menyewa atas alasan, 'bayar sewa berbulan-bulan, tapi rumah bukan hak milik sendiri'.

Sewaktu membeli rumah tersebut, harganya cuma RM120k. Bolehlah sebagai pasangan yang baru hendak memulakan kehidupan sendiri, berdikari, sedikit jauh daripada keluarga sendiri. Rumput yang panjang serta pokok inai yang berakar tunjang kuat telah berjaya kami tebas. Menurut jiran sebelah-menyebelah, jika dahulu tiada siapapun yang berminat untuk membeli rumah tersebut kerana keadaan halamannya yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan. Namun, setelah kami duduki dan bersihkan, jadi indah pula. Manakan tidak, rumah tersebut kami simen sepenuhnya, dinding luar dan dalam, saya cat sepenuhnya dengan tulang 4 kerat saya sendiri. Encik suami saya tidak minat kerja-kerja begini. Hehehe... Lagi pun, memang Sejak dulu saya gemar DIY atau hasilkan kerja yang saya rasa saya mampu lakukan.

Rumah lama kami. Kerusi taman pun dok dalam rumah. Tapi, saya suka... :)

Ruang tamu berwarna peach, ruang dapur berwarna hijau, frame pintu bilik warna pink fuschia, manakala grille dan gate saya cat rona off white. Dinding bahagian luar saya cat warna kuning. Ketika itu, tahun 2005, rona kuning popular. Kebanyakan rumah berat rona itu. Untuk tampilkan kelainan, saya cat rona peach (lebihan cat di dalam rumah) di bahagian tiang dan beberapa tempat tertentu. Tidaklah semuanya nampak kuning, kan? ;)

Tip Sebelum Masuk Rumah
Sebelum masuk rumah, banyak aspek perlu diambil kira. Antaranya:-
1- Kenal pasti point untuk lampu dan kipas. Beli lampu dan kipas di HOuse of Lighting, Puchong yang glamor itu. Tempat tumpuan untuk mendapatkan barangan dengan harga murah!
2- Bersihkan rumah. Cuci-cuci. Mop lantai, bersihkan sawang, dan sebagainya.
3- Buat kunci pendua. Itu penting!
4- Jangan lupa baca surah Al-fatihah dan 3 Qul. Amalkan juga membaca surah Al-baqarah.
5- Laungkan azan sebelum masuk ke dalam rumah baru. Rumah yang lama ditinggalkan biasanya dihuni oleh makhluk yang kita tidak nampak. Hati-hatilah ye. Semoga kita semua berada di bawah perlindungan Allah SWT.

Kemudian, setelah 4 tahun mendiami rumah tersebut, kami mengambil keputusan untuk mendapatkan rumah lain. Faktor anai-anai menyebabkan kami terpaksa membuat keputusan drastik. Saya tidak tahan geli mendengar alunan krik krik anai-anai pada setiap malam di bahagian bingkai pintu bilik air. Oh... Teringat-ingat betapa geli geleman saya, walaupun tidak melihat, tetapi mendengar bunyinya sahaja sudah membuatkan saya merinding.

Rezeki kami baik apabila ditemukan dengan rumah yang kami diami kini. Tempoh 2 tahun untuk rumah ini siap sepenuhnya memaksa kami mendapatkan rumah sewa. Tapi, saya memang agak cerewet bab rumah. Walaupun sekadar rumah sewa, saya tetap ingin mencari yang cantik dipandang mata saya dan selesa. Kami meronda-ronda sekitar Meru dan akhirnya tidak jauh dari rumah kami, kawasan perumahan baru di bawah Bandacaya. Lengkap pergola, 4 bilik 2 bilik air. Memang selesa! Paling penting, ia rumah Baru! Dan... Rezeki kami, rumah itu tinggal satu unit sahaja. Tuan rumah /tuan tanah mempunyai 4 pintu rumah ( klu x silap) dan kami dapat rumah yang terakhir itu. Mulut perlu ramah untuk bertanya kerana lazimnya mereka tidak menampal atau menggantung iklan rumah untuk disewa. Di kawasan sekitar Meru ini, rumah laris bagai pisang panas. Hari ini keluar, esok sudah ada yang masuk. Maka berpindahlah kami buat kali kedua. Masa pindah kali pertama, tidaklah teruk mana, sebab barang yang diangkut dari rumah orang tua masih dalam kawalan. Tetapi, setelah hidup berkeluarga dan beranak dua, barang-barang teramat banyak. Kebanyakan barang tidak saya keluarkan, kerana selepas 2 tahun, akan berpindah ke rumah yang telah siap sepenuhnya.

Selama 2 tahun menetap di sana, seronok mengenali jiran-jiran. Sempat juga melahirkan anak ketiga dan berpantang sebulan di sana. Saat itu memang tidak akan dapat saya lupakan. Berpindah ke rumah kini juga memang teramat banyak barang. Dan...encik suami kata, kami dah 'taubat' tak mahu berpindah lagi. Fuuhhh!!!! Penat tau pindah rumah. Harap-harap kami tak berpindah lagi. Kami ingin meneruskan kehidupan di sini bersama keluarga kecil kami.
Maaflah...saya memang suka warna-warna terang. Tapi, semenjak dua menjak ni dah mula mencintai brown, gold.

Wednesday, October 16, 2013

Baked Macaroni *fefeeling Italian*

Entri lepas, saya ada ceritakan yang sepanjang satu hari menu kami adalah makaroni; pagi makaroni - tengah hari makaroni - petang makaroni. Saya telah olah Makaroni Berkuah menjadi Makaroni Goreng, dan kemudiannya Baked Macaroni. Ini semua gara-gara mood Hari Raya Qurban yang tak datang menjelma dek kerana Encik Suami masih bekerja.

Jom kita tengok macamana saya hasilkan Baked Macaroni tanpa menggunakan bahan-bahan yang susah nak dapat di dalam fridge kita. Ini kerana, saya selalunya suka terjah saya. Kalau saya rasa nak masak itu dan ini, saya akan tinjau-tinjau dalam gerobok saya, apa bahan-bahan yang ada. Kalau setakat 1-2 bahan yang tak penting dan kalau tiada pun, masih menjadi, saya abaikan saja. Tak perlulah ke kedai semata-mata nak lengkapkan semua bahan. Janji rasa tak lari sangat sebab adakala bahan-bahan yang tiada tu sekadar penambah rasa dan adakala bolh digantikan dengan bahan lain. Semuanya terpulang pada kita. Ikut suka, ikut rasa.Jom tengok resipi. *cheese again...?hmmm*

Baked Macaroni

Bahan A
*untuk makaroni, saya telah hasilkan sebelumnya. Boleh tengok di.http://fasyafazida.blogspot.com/2013/10/makaroni-berkuah-resipi-olahan-sendiri.html

Bahan B
2 cawan susu full cream (*tapi saya guna susu tepung Fernleaf bancuh air sebab susu dah habis buat puding roti)
2 biji telur
4 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa (*penambah perisa dapat product sample dari ofis ;))
Garam & Pepper

Cara-cara:-
1. Campurkan semua Bahan B dan pukul/gaul sebati.
2. Masuk bancuhan susu dalam acuan yang sesuai.
3. Kemudian, masukkan maakroni goreng tadi. Jangan risau. Memang ia akan tenggelam. Biarkan ia tenggelam agar makaroni masak sekata.
4. Taburkan keju parut diatasnya. (*Saya guna mozarella.)
5. Bakar dalam oven 200 darjah Celcius, selama 30-35 minit atau keju kelihatan garing. **Jangan lupa panaskan oven terlebih dahulu kira-kira 10 minit. Masak api atas bawah ye puan-puan.

Pic ini saya belum tabur parutan keju lagi.
OK, DONE! Boleh tunggu suam sedikit supaya makaroni akan terpotong elok dan cantik apabila dikeluarkan daripada acuan. Ada juga yang menggunakan bekas kaca kecil-kecil yang tahan panas dan boleh terus hidang dan makan. Ikut citarasa dan cara penyediaan masing-masing. Sesuai untuk dimakan semasa sarapan pagi mahupun tengah hari, hi tea, makan malam ataupun supper.:) #Apapunboleh