Terima kasih sangat2!

f@sy@ f@ziD@ (^^)

Monday, September 23, 2013

Buat Kecur Liur Saja...

Anda tahu tak buah apakah ini? Klu: Sejenis mangga.




Ha, dah dapat teka? Ya, betul! Buah mangga kuinin. Memang sedap rasanya kan. Saya sememangnya seorang peminat buah mangga. Mangga epal, mangga kuinin, mangga telur, bla bla.. apa jua jenis mangga aka buah pauh (kata orang Kelate…hehe). Saya rasa anda juga peminat mangga. Apatah lagi mangga muda, atau mangga yang rasa lemak-lemak masam manis, cicah dengan cili padi, kicap, dan gula. Ada yang tambah belacan. Oh, memang syurga dunia seketika… Ada yang kata, “Oh, heaven!” Malam tadi saya ke pasar raya NSK di Meru, Klang. Sebelum ini, jika ke bahagian barangan basah dan buah-buahan, saya sudah terbau-bau keenakan buah kuinin kerana baunya yang ‘menyengat’. Tetapi, hati saya masih belum teringat untuk mengambilnya lantaran mengingatkan senarai barangan lain yang perlu dikejar terlebih dahulu. Dan saya perlu cepat kerana tidak mahu beratur panjang di kaunter pembayaran. Sudahnya, saya terlupa untuk mengambilnya.

Namun, pada malam tadi saya tekad untuk mengambil 3 biji mangga kuinin. Bukannya hendak makan sangat, cuma saya teringin untuk dibuat sambal belacan kuinin. Dulu-dulu, saya memang sukakan sambal belacan kuinin… sehinggalah sekarang. Lawankan dengan ikan goreng. Dimakan dengan nasi panas. Pergh… memang terangkat!

Menggamit Memori






Tahun 2008, saya ke Pesta Buku Antarabangsa (PWTC) atas dasar bertugas di bawah Karangkraf. Waktu itu, saya masih bertugas sebagai Penolong Editor majalah e-BACA. Seusai bertugas, sempat juga dan rakan setugas berjalan dari booth ke booth penerbitan lain untuk mencari bahan bacaan yang berkenan di hati. Ketika itulah mata tertancap pada sebuah buku. Karya Nan Indah untuk Semua, Panduan Penulisan Kreatif oleh Faisal Tehrani (Penerima Anugerah Seni Negara). Staf yang bertugas ada menyatakan yang penulisnya bakal berada di situ untuk menandatangani buku yang bakal dibeli, namun saya menolak untuk menunggu buku itu ditandatangani dan berjumpa penulisnya kerana kami bergegas ingin segera pulang.





Maka itu, saya beli juga buku itu kerana hati ketika itu ingin sekali memulakan penulisan awal (namun perlukan bimbingan). Harganya cuma RM29.00. Bahasanya mudah sekali untuk difahami bagi penulis amatur seperti saya. Lengkap contoh dan hasil karyanya. Pelbagai. Karyanya memang indah! Maka dari saat itulah, saya membaca (namun belum khatam… hehehe) dan memulakan penulisan genre kanak-kanak dan awal remaja. Antara buku-buku yang saya hasilkan, memang saya gunakan nama Fasya Fazida (nama pena yang wujud sejak sekolah menengah ). Buku-buku yang saya hasilkan ini sebenarnya adalah dengan bantuan seorang kakak (rakan yang saya terjumpa tanpa disangka, diperkenalkan oleh seorang rakan wartawan senior kepada saya yang mengajak untuk menulis bersama-samanya.) Waktu itu saya rasa bagai orang yang mengantuk disorongkan bantal. Manakan tidak, saya yang memang sedang mencari-cari galakan dan semangat untuk memulakan penulisan, akhirnya ditemukan dengan seseorang dengan izin Allah SWT. Alhamdulillah.






Penghasilan buku-buku ini tidak memakan masa yang lama. Cuma menunggu lama sedikit untuk mendapatkan naskah contohnya kerana buku ini untuk PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA. Jika anda tanya tentang bayaran yang saya terima buat pertama kali, ketika itu saya rasa bayaran adalah perkara kedua. Paling penting, mahu lihat bagaimana wajah buku hasil tulisan kita. Jujur saya katakan, seandainya anda ingin menulis, karya anda bercetak disertakan nama penulis di kulit muka hadapan buku tersebut sebenarnya yang ditunggu-tunggu, dinanti-nanti, yang lebih anda hargai. Bukannya bayaran yang dinanti. Kerana keterujaan buku itu dicetak sesungguhnya amat mendebarkan. Walaupun saya memang bertugas di bahagian majalah dan hasilnya keluar pada setiap bulan (pastinya teruja menanti), namun penghasilan BUKU amat BERBEZA sekali. Terujanya lain sekali! Tak percaya, cubalah menulis, dan nantikan karya PERTAMA anda. Selepas itu, beritahu saya apa yang anda rasa. Hehehe…

Friday, September 20, 2013

Kini kembali...


Setelah bertahun-tahun meninggalkan aktiviti blogging disebabkan pelbagai faktor. Antaranya malas (paling utama, hihihi... aksi ini bukan untuk ditiru, tak bagus untuk kesihatan minda dan tubuh), tidak serius, kesibukan kerjaya dan menguruskan keluarga seiring dengan pertambahan ahli keluarga. Hikhik. Kini, saya rasa terbuka hati semula untuk berblog. Doakan agar saya istiqomah (dan rajin) agar saya dapat berkongsi ilmu, panduan, tip, dan paling best adalah berkongsi PENGALAMAN yang amat berharga, yang saya percaya setiap insan melaluinya dalam keadaan yang berbeza-beza. Perkongsian bukan sahaja dapat bertukar-tukar fikiran, tapi tahukah anda bahawa perkongsian juga bisa mengubat jiwa yang gundah, meleraikan yang kusut, mencantumkan hati yang retak. Ya, memang benar! Perkongsian akan membuatkan kita berfikir lebih luas, berfikir di luar kotak akan pengalaman yang orang lain lalui. Adakala jika kita merasa tertekan dengan masalah yang kita hadapi dalam meniti kehidupan, sehingga kita hampir PATAH (bsa), namun apabila kita berkongsi dengan orang lain, ternyata kehidupan kita tidaklah seteruk mana. Ada orang lain ternyata melalui pengalaman yang lebih memeritkan, menghadapi bebanan yang lebih tak tergalas di bahunya. Oleh itu, konsep BERSYUKUR (ALHAMDULILLAH) itu ternyata perlu diterapkan dalam diri setiap dari kita. Ucaplah SYUKUR, ALHAMDULILLAH. Semoga perkongsian saya kali ini dapat membuatkan jiwa-jiwa yang kian rapuh kembali bertenaga agar kelam yang menutupi mega bakal memancarkan sinar surianya kembali.Insya-Allah.