Terima kasih sangat2!

f@sy@ f@ziD@ (^^)

Wednesday, October 16, 2013

Baked Macaroni *fefeeling Italian*

Entri lepas, saya ada ceritakan yang sepanjang satu hari menu kami adalah makaroni; pagi makaroni - tengah hari makaroni - petang makaroni. Saya telah olah Makaroni Berkuah menjadi Makaroni Goreng, dan kemudiannya Baked Macaroni. Ini semua gara-gara mood Hari Raya Qurban yang tak datang menjelma dek kerana Encik Suami masih bekerja.

Jom kita tengok macamana saya hasilkan Baked Macaroni tanpa menggunakan bahan-bahan yang susah nak dapat di dalam fridge kita. Ini kerana, saya selalunya suka terjah saya. Kalau saya rasa nak masak itu dan ini, saya akan tinjau-tinjau dalam gerobok saya, apa bahan-bahan yang ada. Kalau setakat 1-2 bahan yang tak penting dan kalau tiada pun, masih menjadi, saya abaikan saja. Tak perlulah ke kedai semata-mata nak lengkapkan semua bahan. Janji rasa tak lari sangat sebab adakala bahan-bahan yang tiada tu sekadar penambah rasa dan adakala bolh digantikan dengan bahan lain. Semuanya terpulang pada kita. Ikut suka, ikut rasa.Jom tengok resipi. *cheese again...?hmmm*

Baked Macaroni

Bahan A
*untuk makaroni, saya telah hasilkan sebelumnya. Boleh tengok di.http://fasyafazida.blogspot.com/2013/10/makaroni-berkuah-resipi-olahan-sendiri.html

Bahan B
2 cawan susu full cream (*tapi saya guna susu tepung Fernleaf bancuh air sebab susu dah habis buat puding roti)
2 biji telur
4 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa (*penambah perisa dapat product sample dari ofis ;))
Garam & Pepper

Cara-cara:-
1. Campurkan semua Bahan B dan pukul/gaul sebati.
2. Masuk bancuhan susu dalam acuan yang sesuai.
3. Kemudian, masukkan maakroni goreng tadi. Jangan risau. Memang ia akan tenggelam. Biarkan ia tenggelam agar makaroni masak sekata.
4. Taburkan keju parut diatasnya. (*Saya guna mozarella.)
5. Bakar dalam oven 200 darjah Celcius, selama 30-35 minit atau keju kelihatan garing. **Jangan lupa panaskan oven terlebih dahulu kira-kira 10 minit. Masak api atas bawah ye puan-puan.

Pic ini saya belum tabur parutan keju lagi.
OK, DONE! Boleh tunggu suam sedikit supaya makaroni akan terpotong elok dan cantik apabila dikeluarkan daripada acuan. Ada juga yang menggunakan bekas kaca kecil-kecil yang tahan panas dan boleh terus hidang dan makan. Ikut citarasa dan cara penyediaan masing-masing. Sesuai untuk dimakan semasa sarapan pagi mahupun tengah hari, hi tea, makan malam ataupun supper.:) #Apapunboleh
  

Monday, October 14, 2013

Makaroni Berkuah *resipi olahan sendiri*

Makaroni Berkuah Sempoi Citarasa Anak-anak
Apa khabar semua? Lama dah saya peram entri ini sebab tak sempat nak mengarang. Kalau nak diikutkan, rentetan resipi saya banyak 'cheese-based', kan? Memang pun. Sampai rakan sepejabat pun dah tahu. "Cheese again...?" Hahaha... Maaflah... keju sememangnya menjadi antara yang menjadi kegemaran saya. Jadi, jangan bosan tau ye puan-puan yang jelita dan rupawan. Bukan apa, mozarella cheese masih berbaki. Kalau saya tak habiskan, alamatnya... memang lambatlah nak habis. Alih-alih, habis tempoh.

Ini entri tertangguh sebenarnya. Sebabnya... nanti orang bosan tengok 'keju' lagi dan lagi.:) Sehari sebelum Hari Raya Qurban, kalau orang lain semua sibuk 'menari' di dapur untuk memasak rendang, ketupat, nasi himpit, kuah kacang dan lontong, saya pula sebaliknya. Ini kerana Encik Suami saya masih bekerja. Jadi, mood hendak berhari raya 'tidak mari'. :)

Untuk menjimatkan masa dan masak menu sempoi tapi nampak pelbagai, kita perlu kreatif tanpa memakan masa yang banyak. Menu saya hari ini semua 'macaroni-based'. Semasa sarapan pagi yang agak terlewat, saya buatkan makaroni berkuah tapi simple sahaja bahannya sebab tengok stok apa yang ada. Petang pula, saya campurkan makaroni dan kuah tersebut, lalu panaskan di atas pan. Maka, terjadilah Makaroni Goreng. Malam pula, saya jadikan Makaroni Goreng itu menjadi Baked Macaroni. 

Makaroni Berkuah ala FasyaFazida

Bahan-bahan:-
1/2 peket makaroni
1/2 peket daging cincang (*saya pilih Ramly)
3 batang sosej (*dihiris sederhana nipis atau potong serong)
3 ulas bawang putih (*diketuk dan dicincang)
1 biji bawang merah (*dipotong dadu)
1 senduk cili kisar
3 sudu sos/puri tomato
1 cawan air (atau lebih mengikut kecairan kuah yang diingini)
Oregano atau mix herbs
Garam

Cara-caranya:-
1. Rebus makaroni dan toskan.
2. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga naik bau.
3. Masukkan cili kering yang telah dikisar dan masak hingga pecah minyak. (*Mak saya kata, kalau kita bersin tu, maknanya cili tu dah garing dan dah cukup masak. Ehem... tapi kalau tak bersin-bersin juga dek kerana hidung tu boleh tahan, jangan tunggu sampai hangus pula ye tuan-tuan dan puan-puan. Hehehe...)
4. Kemudian, masukkan daging cincang. Masukkan air dan kacau hingga daging cincang itu masak.
5. Setelah itu, masukkan sos atau puri tomato. Kalau nak lebih pun boleh. Kita masak ikut suka, ikut rasa. 6. Masukkan sosej.
7. Perasakan dengan garam dan sedikit oregano atau mix herbs.

Dah siap! Masa nak makan, tuang kuah atas makaroni yang direbus tadi. Mudah, kan? Kalau nak tabur parutan keju cheddar pun boleh juga. Wallah!

OK DONE! Kemudian, petangnya saya tukarkan Makaroni Berkuah itu menjadi Baked Macaroni. Nak tahu cara-caranya? Kita tengok entri seterusnyalah ye. :) Jumpa lagi!

Sunday, October 13, 2013

Ayrinn Jadi Artis

Ayrinn, sifatnya boleh dikatakan seorang yang berdikari, penghibur, peramah, pengasuh, rajin, comel! Haha... Sebagai anak tengah, Ayrinn boleh diharap. Boleh menjadi 'mata-mata' untuk membantu saya memerhati abangnya, Adam dan adiknya, Ayraa.

Dulunya, Ayrinn seorang yang introvert. Di Taska, gurunya berkata kepada saya perkara yang sama saat saya meminta maklum balas tentang prestasi anak-anak saya di nurseri. Namun,sejak setahun dua ini, Ayrinn semakin pandai berkomunikasi. Saya sendiri mengambil pendekatan untuk menjadikan anak saya seorang yang extrovert seperti abangnya. Nak tahu rahsia bagaimana ingin menjadikan anak yang pemalu dan pendiam untuk lebih terbuka dalam berkomunikasi dan bersosial dengan rakan sebaya? Cubalah tip yang saya berikan ini;

Tip Jadikan Anak Mahir Berkomunikasi & Bersosial

1. Ibu atau bapa perlu mendekatkan diri dengan anak tersebut. Contohnya, berbual-bual dengannya sewaktu dalam perjalanan menghantar atau mengambil anak daripada pusat asuhan/taska/sekolah. Boleh memulakan topik perbualan dengan anak mengenai aktiviti dan rakan-rakan di pusat asuhan/taska/sekolah. Buat permulaan, anak mungkin akan menjawab sepatah kepada pertanyaan yang diajukan. Namun, ibu/bapa usah berputus asa. Si anak baru sahaja hendak menyesuaikan diri dan membentuk cerita di dalam kotak fikirannya. Ulang pertanyaan yang sama setiap hari supaya si anak akan biasa dan dia akan mula merangka cerita untuk diceritakan kepada ibu/bapanya di dalam kereta nanti.

**Saya sendiri mengulang perkara yang sama, sehingga akhirnya anak saya tidak sabar hendak bercerita saat mulai masuk ke perut kereta. Secara tidak langsung, dengan perbualan antara ibu/bapa dan anak ini, mereka akan rasa dihargai sementelah ibu/bapa seharian sibuk bekerja.

2. Ajar atau latih mereka berkomunikasi atau bertutur dengan perkataan yang 'molek-molek' sahaja. Ini penting kerana mereka perlu diajar bahasa yang elok untuk bertutur dan berkomunikasi dengan rakan lain ataupun orang yang lebih dewasa dengannya. Beritahu anak bahawa perkataan yang tidak elok akan memberi kesan yang tidak elok juga kepada rakannya. Ajarinya supaya menjaga hati orang lain jika hati mereka sendiri tidak mahu disakiti. Ajar mereka supaya berfikir sebelum bercakap. Contoh; "Kalau kawan Ayrinn cakap Ayrinn budak comot, Ayrinn marah tak?" Pastinya, dia akan berkata, "Marah." Jadi, ajarkan mereka agar berfikir dan tahu menghargai perasaan orang lain. Jikalau si anak ingin bergurau, pastikan mereka tidak berlebih-lebihan.

3. Berikan pujian. Siapa yang tidak dahagakan pujian? Kembang kempis si anak saat ibu/bapa/guru memberikan pujian walaupun dia hanya telah melakukan satu kejayaan kecil. Contohnya; si anak berjaya mewarna tanpa keluar/melebihi daripada gambar yang diwarnakan (meskipun warnanya kelihatan agak tidak sekata). Namun, bagi si anak itu merupakan satu kejayaan buat dirinya dalam umur sebegitu. Percayalah! Selepas itu, si anak pasti akan membuat lebih baik untuk mendapatkan pujian dan (sebenarnya PERHATIAN!)

4. Kongsi cerita ibu/bapa dengan anak. Jika boleh, sebutkan nama kenalan pejabat yang anak kenal atau tidak. Mengapa begitu? Mengikut pengalaman saya, dari sinilah si anak akan mula bertanya (menambahkan kemahiran komunikasi) tentang rakan-rakan pejabat kita, tugasan yang kita lakukan bersama mereka, dan sebagainya. Usah mengelak daripada bercerita tentang tugasan di pejabat kepada anak-anak kerana mereka akan mendengar dan cuba berfikir dan membayangkan. Walaupun anda rasa anak anda tidak memahami, tetapi percayalah yang sebenarnya mereka dedang menyerap input tersebut dan akan memahaminya sedikit masa lagi. Jika anda perasan, pasti ada orang yang menyatakan pada anda, " Eh, anak awak bercakap dalam bahasa Melayu buku lah." ATAU "Anak awak petah berkata-kata, macam orang dewasa. Mana dia tahu perkataan-perkataan macam tu? Umurnya baru 4 tahun."

5. Usah anggap anak kecil itu terlalu kecil. Lazimnya, ibu/bapa masih menganggap anak kecilnya sama seperti umur ibu/bapa pada zaman mereka dahulu kala. Ingatlah, zaman telah berubah. Kanak-kanak telah semakin maju dan otak mereka semakin pantas berfikir. Tiada salahnya jika anak-anak didedahkan dengan perkara yang kanak-kanak melebihi umurnya buat. Mana tahu, mungkin anak anda lebih genius otaknya daripada rakan sebaya yang lain. Jadi, biarkan anak berkomunikasi dengan orang yang lebih dewasa supaya dia lebih berkeyakinan dan tahu bagaimana untuk menghormati dan berkomuniasi dengan orang yang lebih dewasa daripadanya.


Baru-baru ini, saya terlihat Ayrinn melukis sesuatu di atas kertas A4. Apabila saya tanyakan apa yang dilukis, dia berkata, "Ayrinn lukis mama, papa, abang Adam, Ayrinn, dan Ayraa" sambil menunjukkan satu persatu objeknya. Saya terharu. Saya mungkin tidak pernah mengajarnya melukis, namun saya tahu apa yang ada di sudut hatinya. LUKISAN adalah luahan hati seseorang. Oleh itu, biarkan anak anda mengekspresikan perasaan dan hatinya dengan melukis.
Sudah semestinya, pujian melambung saya berikan kepada Ayrinn ke atas daya kreatifnya dan semangat melukisnya itu. Saya amat hargainya. Niat di hati saya ingin menyimpan lukisan itu sebagai tanda kenangan, tetapi setelah saya meminta Ayrinn kemaskan kertas-kertas yang adiknya Ayraa sepahkan, dia turut membuang lukisan tanda hatinya itu. Oh, nasib baik sempat ambil fotonya. #mamasayangsangatAyrinn#