Terima kasih sangat2!

f@sy@ f@ziD@ (^^)

Monday, January 06, 2014

"Aku terima nikahnya..."


"Aku terima nikahnya..." Syahdu, sayu saat bait-bait itu dilafazkan semasa ijab dan qabul. Antara detik menyentap rasa dalam hidup ini selain sayu masa nak pergi asrama tinggalkan ibu, ayah, adik-beradik dan basikal baru! Hik. Tanggal 29 Disember 2013, satu-satunya adik perempuan saya dan bongsu pula (saya ada seorang abang dan 2 adik lelaki)telah melangsungkan perkahwinannya. Kira, mak ayah boleh menghela nafas lega kerana kami semua sudah berkahwin. Kiranya, tak perlu pening nak memikirkan kenduri kendara. Lagipun, mak ayah saya dah berusia benar. Kasihan mereka.

Sekali lafaz, mereka sah menjadi suami dan isteri. Alhamdulillah...

Menanti dalam penuh debaran. Giller tak berdebar...!

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya baru menyambut ulang tahun, adik pula melangsungkan perkahwinan. Nanti, kami bolehlah sambut anniversary bersama-sama. Hehehe... Untuk majlis perkahwinan ini, jiran-jiran di kawasan rumah mak saya di Shah Alam bergotong-royong mengadakan kenduri. Ini masih diamalkan oleh sesetengah masyarakat di sini yang masih kuat semangat kejiranannya.

Sebanyak 9 khemah telah dipasang untuk memudahkan trafik tetamu yang datang untuk keselesaan mereka menghadapi hidangan yang disediakan. Mak memang pentingkan ini. Makan minum dan keselesaan tetamu. Baginya, biarlah tak cantik khemah, asalkan tetamu mendapat yang sewajarnya.

Ini jer la yang sempat kami snap gambar keluarga. Maklumlah... orang dapur, kan kak long (kak ipar saya)? Hehehe.. Husband pun tak sempat tukar baju tema. Pengantin dah sampai. Maklumlah, jadi kendarat...

Mak dan ayah merakamkan kenangan bersama pengantin. Susah nak tarik mereka ni sebab orang ramai nak salam keruk-keruk. Tahu tak salam keruk-keruk? Hahaha... cer tanya ibu bapa anda.
Dulu, along saya telah menaja kek perkahwinan saya, kini kami pula menaja kek perkahwinan adik bongsu kami memandangkan goodies dan lain-lainnya telah mak saya sediakan melalui duit hantaran. Lagipun mak tak gemar membazir, atau membuat goodies yang akhirnya orang buang sahaja. Jika goodies terlalu mahal pun, mak kurang gemar. Katanya, lebih baik bersederhana. Kami akur dengan kata-katanya. Betul juga kata orang tua. Buat bersederhana, yang lebih penting tidak berhutang untuk berkahwin dengan perbelanjaan yang terlebih-lebih. Goodies pun, mak berikan makanan dan air kotak. Katanya, kenyang orang bawa balik dan makan. Setiap orang berbeza pendapat. Masing-masing ada pendapat dan citarasa sendiri. Terpulang kepada individu. Walaupun berwang, namun jika bersederhana, itu kan lebih baik.
Kek rona biru turkuois plus ros merah kuning. Wording fondant.


Inilah kek 2- tier yang saya tempah dari Jasmeen HomeDelight. Saya minta warna turkuois dan tulisan diletakkan fondant. Memang sweet sangat warnanya. Ini pula gambar pada malam pernikahan.


Dan kek berbentuk tas tangan ini daripada pihak lelaki. Sedap juga rasa kek coklatnya. Saya pula suka fondant nya yang memang manis. Awas, jangan makan banyak-banyak!

Buat Deq Nor dan Ayie, selamat pengantin baru. Semoga berbahagia hingga ke syurga. Aameen.


Mak dan pak saudara sebelah mak kami.





Our 8th Wedding Anniversary

Alhamdulillah, tanggal 25 Disember 2013, genap 8 tahun usia perkahwinan kami. Syukur pada Allah kerana memberi rahmat atas ikatan pernikahan ini, dan memberikan 3 permata yang sangat berharga buat kami ini. Kata orang, hidup tak akan berseri tanpa kasih sayang. Ye! Kasih sayang itu lebih berharga daripada segala-galanya. Tanpa kasih sayang, sesetengah orang boleh jadi tak keruan.  Untuk tahun ini, kami merasakan lebih meriah. Manakan tidaknya, kehadiran 3 cahaya mata penyeri dan pelengkap kehidupan kami. Jika dilihat kembali rakaman lensa yang sempat dirakam oleh jurugambar 8 tahun yang lalu, sesungguhnya saya rasakan putaran kehidupan ini sangat laju. Serasa baru sahaja kami melangsungkan perkahwinan dengan ikatan yang sah, dan kini kami sudah dikelilingi oleh anak-anak anugerah Allah yang comel-comel, sihat dan sempurna. Subhanallah, Maha Suci Allah. Terima kasih Allah atas kurniaan ini. Jangan Kau menduga aku (dan kami) dengan sesuatu yang tidak mampu kami harungi. Syukur pada-Mu atas apa yang kami peroleh selama ini. 

Kad perkahwinan kami yang masih disimpan dalam album perkahwinan hingga kini, dengan tema biru gelap dan tulisan silver timbul. Ada bau wangi lagi. Envelope pun biru cair, bau wangi. Hihihi...Masa tu trend kad macam ni. :)


Menyingkap kembali persandingan kami, ye, saya memilih warna biru. Sememangnya itulah warna yang saya pilih dari awal. Tidak kira saya bakal berkahwin dengan siapa pun jodoh saya, tema biru dan putih itulah warna yang akan saya guna sempena majlis resepsi kami.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Allah menetapkan itulah jodoh saya, sesungguhnya itulah yang terbaik buat saya. Seorang suami yang budiman, tidak pandai bermain kata, namun kalau bermesej, dialah superhero romantika de amor. Semasa berkenalan, saya tidak tahu dia begitu. Tapi, seusai perkahwinan, barulah saya tahu dalam hati dia ada taman. Hihihi... Biarpun tak mengucapkannya di bibir, dan ber'darling' bagai hanya di SMS, namun saya tahu dia suami dan bapa yang terbaik buat kami semua. Semoga abang/papa dapat membimbing kami sekelarga ke arah jalan yang diredai Allah.

Buat Adam, Ayrinn, & Ayraa (setakat entri ini ditulis), seandainya mama telah tiada, dan kamu semua membaca entri ini, mama nak kamu tahu yang papa sangat sayang kamu semua. Masa kamu kecil-kecil antara usia Adam 7 - Ayrinn 5, Ayraa - 1.5 tahun, papa kamu ni lucu. Papa kamu akan berikan apa saja yang kamu minta. Papa kamu suka bermain badminton dan bola sepak dalam rumah dengan Adam. Papa kamu akan buatkan susu untuk kamu semua masa kamu kecil untuk semua anak-anaknya sebab dia tak nak mama penat bangun malam. Sebab dia tak nak mama letih pergi kerja keesokan hari. Jadi, papa kamu akan bangun tengah malam untuk buatkan susu kamu semua. Papa kamu juga selalu menyebelahi kamu seandainya ada perkara yang mama tidak benarkan kamu buat.

Selalunya, orang kata tak seorang bapa tidak pandai menunjukkan kasih sayangnya. Ye, memang ada benarnya. Mama selalu cakap pada papa kamu, selalu peluk anak-anak dan cium mereka seupaya mereka rasakan kasih sayang kita. Kadang-kadang papa kamu akan peluk bahu Adam masa berjalan dan adakala papa kamu akan tunjukkan cara cium pipi yang betul pada Adam (sedangkan mama tahu yang papa kamu nak cium kamu betul-betul, tapi kadang-kadang dia tak nak tunjukkan. Dengan anak-anak mama, memang mama zahirkan kasih sayang mama. Tapi, papa caranya berbeza. Mama tahu dia sayang sangat kita semua, sebab papa pernah menangis di depan mama saat emak papa mengalami suatu peristiwa. Dan dia juga menangis depan mama, saat anak saudaranya dibawa pulang ke kampung, tidak lagi tinggal bersama opahnya.

Ye, mama tahu dia seorang yang amat penyayang. Sedangkan dengan anak saudara pun dia boleh tersentuh. Sungguh! Luaran tidak kelihatan, namun dalaman hanya Allah yang tahu. Sungguh, papa kamu akan menuruti Adam dari kejauhan (sewaktu Adam baru masuk tahun 1 minggu lepas). Hari kedua, papa sanggup melihat dari jauh, Adam tahu ke tak menuju ke kantin, Adam tahu tak di mana nak tunggu Cik Pah yang akan menjemput Adam dan rakan-rakan pulang dari sekolah. Dan bagaimana papa melihat Adam menangis di sekolah kerana pakaian sekolah terkena air hujan. Sepatutnya Adam, tahun 1, tak digalakkan ke masjid untuk solat Jumaat. Namun, ajakan kawan tahun 2 Adam turuti. Bagus anak mama. Air hujan sedikit sahaja, Adam. Lumrah, pergi sekolah memang begitu. Usah menangis sayang... akan ada pelbagai onak dan duri yang bakal dikau tempuhi. Yang penting, jaga peribadi, dapatkan restu mama dan papa, jaga solat. Insya-Allah, dipermudahkan jalanmu nak...

Resepsi sebelah keluarga suami. Gambar mak ayah saya bersama menantunya.
Merenung kembali gambar-gambar perkahwinan 8 tahun lalu, sebak rasa di jiwa. Kehidupan di dunia takkan lama. Suami dan anak-anak hanyalah perhiasan dunia. Perlu bersiap sedia, bila-bila masa sahaja Allah boleh menjemput mereka. Saya perlu bersedia. Tidak pasti siapa yang akan pergi dulu. Cuma perlu sematkan dalam diri, kita hanya sendiri juga akhirnya nanti.

PIC: IHSAN GOOGLE

Ulang tahun perkahwinan ke-8, kami sempat makan bersama-sama anak-anak. Itulah masa paling berharga, pada saat berkumpul bersama anak-anak, melihat mereka makan, bergembira, menyayangi antara satu sama lain, tidak tergambar perasaan itu. Usia kami makin menginjak, bererti masa kami sudah tidak lama di dunia ini. Harap-harapnya, kami semua diberikan usia yang panjang untuk melihat kebahagiaan anak-anak kami dan dijemput saat kami telah mengumpul pahala dan bersedia untuk disoal oleh Mungkar dan Nakir.

HAPPY FAMILY ON OUR 8TH WEDDING ANNIVERSARY!

Ayrinn, saya dan Ayraa.

Ayraa makan spagethi. Sedap sangat! Mama pun menyibuk nak makan.

Aksi mereka bertiga buat kami tak kering gusi. Dok menghadap youtube, buat gwiyomi.