Terima kasih sangat2!

f@sy@ f@ziD@ (^^)

Monday, February 17, 2014

'Mama, Ayrinn nak putih macam Ayraa...,"

Saya percaya semua orang mahu kelihatan cantik. Semua perempuan ada naluri ingin kelihatan sempurna (saya percaya lelaki juga ada perasaan ingin kelihatan kacak dan segak). Tetapi, sebelum itu, apa sebenarnya definisi cantik? Adakah cantik itu perlu berwajah putih cerah, hidung mancung bak seludang, bibir merah bak delima merekah, pipi bak pauh dilayang, betis bagai bunting padi, dan segala bagai perumpamaan lagi?

Mengapa saya bercerita fasal cantik? Ini kerana ada kisah menyayat hati saya, sebagai seorang ibu... Ini kisah permata hati saya. Setiap insan dilahirkan berbeza-beza. Namun, saya yakin dan percaya setiap aturan Allah SWT ada hikmahnya. Anak perempuan saya ada 2 orang. Sulung adalah abangnya. Adam dan Ayraa memiliki wajah yang hampir serupa (waktu bayi lagi sebijik muka mereka. Berkulit putih merah, berambut perang. Tapi, dah semakin besar, makin hitam lah. Ayrinn pula, kakak Ayraa dilahirkan dengan rambut lebat dan lurus ala rebonding.:) Namun, memiliki kulit yang agak gelap. Ok, kita sebut 'tan'. Merajuk Ayrinn nanti.:) Bagi kami, ibu bapa ketiga-tiga anak-anak kami, wajah kami biasa-biasa, warna kulit pun sedang-sedang.

Ayrinn Aryana - sayang mama...




Ayraa Adelia


Kisahnya begini; Suatu hari, kami berkunjung ke rumah ibu mertua dan sedang saya berbual-bual di meja makan bersama biras, Ayrinn turut ada di situ mengambil makanan dan secara tak sengaja terdengar makciknya berkata, "Ayraa lain sikit ye. Dia comel, cerah sikit." Lebih kurang begitulah bunyinya. Tetapi, kami terus bercerita seperti biasa. Namun, siapa menyangka, ayat itulah yang Ayrinn teringat-ingat berminggu-minggu lamanya, sehinggalah pada suatu hari, Ayrinn yang berusia 5 tahun itu berkata pada saya ketika kami menonton tv bersama-sama. Saat itu Ayrinn duduk di atas riba saya.

"Mama, Ayrinn nak putih, cerah macam Ayraa," kata Ayrinn perlahan.
Saya bertanya kembali. "Kenapa Ayrinn nak putih macam Ayraa? Ayrinn kan comel?" Balas saya.
"Habis tu, anyah (sebutan makciknya) kata Ayraa comel sebab dia putih..." jawabnya lagi.

Saya memandang wajah Ayrinn. Dada saya terasa sakit, sebak. Saya lantas memeluk Ayrinn kuat-kuat. Air mata saya tak terbendung lagi. Air hangat laju membasahi kedua pipi. Ayrinn terkebil-kebil dalam pelukan saya. Dalam tidak sedar,mata Ayrinn turut memerah Dan akhirnya dia juga turut menangis. Kami berpelukan anak-beranak.
"Ayrinn, Ayrinn tahu tak yang Ayrinn comel? Dulu, masa mama kecik-kecik, muka mama macam Ayrinn. Kan mama dah cakap banyak kali, Ayrinn memang comel. Sebab tu, mama ***** (nama seorang rakan Ayrinn di nurseri, saya keliru nama mereka sebab ramai sangat kawan-kawan yang dia sebut hari-hari di rumah) dah 2kali cakap Ayrinn comel. Kan Ayrinn beritahu mama hari tu, kan?"

Saya cuba memberikan keyakinan pada Ayrinn. Ayrinn terangguk-angguk dalam pelukan saya. Saya mengusap-usap wajah dan rambutnya. Makin lebat pula air mata saya jatuh membasahi pipi bam bam saya. Tak sangka anak kecil itu boleh tersentuh hati sebegitu. Saya memang selalu cubit manja pipi Ayrinn dan mengatakan dia comel, sebab pipinya bam bam dan dia ada tahi lalat kecil di pipi kirinya. Senyumannya segitiga. Jadi, tiada sebab Ayrinn mempertikaikan sebaik-baik kejadian Allah SWT ini.

"Sayang mama, Ayrinn tak perlu jadi putih untuk comel tau. Allah dah jadikan Ayraa macam tu, Ayrinn macam ni. Semua orang pun comel! Lepas ni, mama tak mau dengar Ayrinn nak jadi putih macam Ayraa tau. Sebab... sekarang ni pun Ayrinn dah comel!" Nyata, dia mendengar apa yang saya cuba sampaikan. Hingga kini, dia tidak lagi berkata seumpama itu. Cuma dia akan tanya, "Mama, Ayrinn comel tak?" selepas dia pakai bedak, sikat rambut, atau kenakan sepit pada rambutnya. Dia tidak lagi rendah diri, malah lebih berasa yakin dengan diri sendiri. Sayang mama, boleh!

Kesimpulannya:
Tip Tingkatkan Keyakinan Diri Anak-anak

- Anak-anak perlukan pujian dan dorongan untuk mereka ke hadapan dan lebih berjaya dalam hidup. Bukan untuk dilabelkan dengan kata-kata negatif. Itu hanya akan melemahkan semangat dan merendahkan keyakinan dirinya. Percayalah! Anak kecil atau besar memang dambakan pujian. Mereka akan bertindak lebih hebat dan akan cuba menarik perhatian kita dengan kejayaan mereka. Biarkan doa kita mengiringi setiap jejak langkah mereka.
- Sentiasalah mendengar kata hati anak-anak. Mereka suka apabila kita mendengar cerita mereka di sekolah, suka melahirkan masalah mereka, suka menzahirkan perasaan mereka. Dan ... mereka akan menghargai setiap PERHATIAN yang kita berikan kepada mereka. Luanglah masa untuk mendengar kata hati dan cerita mereka, jika kita ingin mereka mendengar luahan hati dan cerita kita pula saat kita berada di penghujung usia kelak.
- Ajar mereka menghargai ciptaan Allah SWT. Semua yang Allah ciptakan itu elok lagi indah kejadiannya.
- Usah membanding-bandingkan antara anak-anak dan juga anak-anak orang lain (tak kira sepupu, anak jiran, anak kawan dan seumpamanya.) Percayalah! Anak-anak kita ada bakat dan potensi yang tersendiri. Paling penting, DOAkan mereka dalam apa jua bidang yang mereka pilih. Pantau dan beri perhatian pada setiap langkah mereka dan berikan nasihat untuk mereka pilih mana yang terbaik. *Anak-anak kurang suka jika kita menentukan hala tuju masa depan mereka. Kita beri pandangan, pilihan (mengikut landasan Al Quran dan As-Sunnah). Biarlah mereka yang menentukan.

Satu kisah lagi yang saya pelajari ketika berkunjung ke rumah makcik saya semalam mengenai anak-anak; - Orang tua akan cepat tersinggung dan berasa sedih apabila anak mengajar mereka sesuatu benda baru, tetapi lambat nak faham. Contoh; seorang anak mengajar ibunya mengendalikan telefon bimbit. Si anak menggunakan nada yang tinggi kerana si ibu 'lambat' dapat apa yang anak ajar. Maklumlah, di hujung usia. Dalam kes ini, si anak berkata, "Dulu pun ibu ajar macam ni dengan saya." Ibu pula menjawab, "Tapi, dengan cara tu kamu boleh belajar pandai." Lihat! Situasi ini menggambarkan kaitan putaran hidup. Jadi, untuk mengelakkan kita tersinggung dan berasa hati/ sedih dengan anak, maka kita (nasihat pada diri sendiri juga) sebagai ibu bapa ini hendaklah mengajar anak-anak dengan intonasi yang sederhana agar anak-anak belajar perkara yang sama.

Sesungguhnya, anak-anak itu suci murni. Mereka punya hati dan perasaan. Sayangilah mereka jika kita menginginkan kasih sayang mereka, lebih-lebih lagi saat kita berada pada penghujung usia kelak (semoga Allah SWT panjangkan umur kami semua untuk melihat kejayaan anak-anak dan merasai kasih sayang mereka sehingga hujung nyawa. Aamiin.

No comments: