Dulunya, Ayrinn seorang yang introvert. Di Taska, gurunya berkata kepada saya perkara yang sama saat saya meminta maklum balas tentang prestasi anak-anak saya di nurseri. Namun,sejak setahun dua ini, Ayrinn semakin pandai berkomunikasi. Saya sendiri mengambil pendekatan untuk menjadikan anak saya seorang yang extrovert seperti abangnya. Nak tahu rahsia bagaimana ingin menjadikan anak yang pemalu dan pendiam untuk lebih terbuka dalam berkomunikasi dan bersosial dengan rakan sebaya? Cubalah tip yang saya berikan ini;
Tip Jadikan Anak Mahir Berkomunikasi & Bersosial
1. Ibu atau bapa perlu mendekatkan diri dengan anak tersebut. Contohnya, berbual-bual dengannya sewaktu dalam perjalanan menghantar atau mengambil anak daripada pusat asuhan/taska/sekolah. Boleh memulakan topik perbualan dengan anak mengenai aktiviti dan rakan-rakan di pusat asuhan/taska/sekolah. Buat permulaan, anak mungkin akan menjawab sepatah kepada pertanyaan yang diajukan. Namun, ibu/bapa usah berputus asa. Si anak baru sahaja hendak menyesuaikan diri dan membentuk cerita di dalam kotak fikirannya. Ulang pertanyaan yang sama setiap hari supaya si anak akan biasa dan dia akan mula merangka cerita untuk diceritakan kepada ibu/bapanya di dalam kereta nanti.
**Saya sendiri mengulang perkara yang sama, sehingga akhirnya anak saya tidak sabar hendak bercerita saat mulai masuk ke perut kereta. Secara tidak langsung, dengan perbualan antara ibu/bapa dan anak ini, mereka akan rasa dihargai sementelah ibu/bapa seharian sibuk bekerja.
2. Ajar atau latih mereka berkomunikasi atau bertutur dengan perkataan yang 'molek-molek' sahaja. Ini penting kerana mereka perlu diajar bahasa yang elok untuk bertutur dan berkomunikasi dengan rakan lain ataupun orang yang lebih dewasa dengannya. Beritahu anak bahawa perkataan yang tidak elok akan memberi kesan yang tidak elok juga kepada rakannya. Ajarinya supaya menjaga hati orang lain jika hati mereka sendiri tidak mahu disakiti. Ajar mereka supaya berfikir sebelum bercakap. Contoh; "Kalau kawan Ayrinn cakap Ayrinn budak comot, Ayrinn marah tak?" Pastinya, dia akan berkata, "Marah." Jadi, ajarkan mereka agar berfikir dan tahu menghargai perasaan orang lain. Jikalau si anak ingin bergurau, pastikan mereka tidak berlebih-lebihan.
3. Berikan pujian. Siapa yang tidak dahagakan pujian? Kembang kempis si anak saat ibu/bapa/guru memberikan pujian walaupun dia hanya telah melakukan satu kejayaan kecil. Contohnya; si anak berjaya mewarna tanpa keluar/melebihi daripada gambar yang diwarnakan (meskipun warnanya kelihatan agak tidak sekata). Namun, bagi si anak itu merupakan satu kejayaan buat dirinya dalam umur sebegitu. Percayalah! Selepas itu, si anak pasti akan membuat lebih baik untuk mendapatkan pujian dan (sebenarnya PERHATIAN!)
4. Kongsi cerita ibu/bapa dengan anak. Jika boleh, sebutkan nama kenalan pejabat yang anak kenal atau tidak. Mengapa begitu? Mengikut pengalaman saya, dari sinilah si anak akan mula bertanya (menambahkan kemahiran komunikasi) tentang rakan-rakan pejabat kita, tugasan yang kita lakukan bersama mereka, dan sebagainya. Usah mengelak daripada bercerita tentang tugasan di pejabat kepada anak-anak kerana mereka akan mendengar dan cuba berfikir dan membayangkan. Walaupun anda rasa anak anda tidak memahami, tetapi percayalah yang sebenarnya mereka dedang menyerap input tersebut dan akan memahaminya sedikit masa lagi. Jika anda perasan, pasti ada orang yang menyatakan pada anda, " Eh, anak awak bercakap dalam bahasa Melayu buku lah." ATAU "Anak awak petah berkata-kata, macam orang dewasa. Mana dia tahu perkataan-perkataan macam tu? Umurnya baru 4 tahun."
5. Usah anggap anak kecil itu terlalu kecil. Lazimnya, ibu/bapa masih menganggap anak kecilnya sama seperti umur ibu/bapa pada zaman mereka dahulu kala. Ingatlah, zaman telah berubah. Kanak-kanak telah semakin maju dan otak mereka semakin pantas berfikir. Tiada salahnya jika anak-anak didedahkan dengan perkara yang kanak-kanak melebihi umurnya buat. Mana tahu, mungkin anak anda lebih genius otaknya daripada rakan sebaya yang lain. Jadi, biarkan anak berkomunikasi dengan orang yang lebih dewasa supaya dia lebih berkeyakinan dan tahu bagaimana untuk menghormati dan berkomuniasi dengan orang yang lebih dewasa daripadanya.
Baru-baru ini, saya terlihat Ayrinn melukis sesuatu di atas kertas A4. Apabila saya tanyakan apa yang dilukis, dia berkata, "Ayrinn lukis mama, papa, abang Adam, Ayrinn, dan Ayraa" sambil menunjukkan satu persatu objeknya. Saya terharu. Saya mungkin tidak pernah mengajarnya melukis, namun saya tahu apa yang ada di sudut hatinya. LUKISAN adalah luahan hati seseorang. Oleh itu, biarkan anak anda mengekspresikan perasaan dan hatinya dengan melukis.
Sudah semestinya, pujian melambung saya berikan kepada Ayrinn ke atas daya kreatifnya dan semangat melukisnya itu. Saya amat hargainya. Niat di hati saya ingin menyimpan lukisan itu sebagai tanda kenangan, tetapi setelah saya meminta Ayrinn kemaskan kertas-kertas yang adiknya Ayraa sepahkan, dia turut membuang lukisan tanda hatinya itu. Oh, nasib baik sempat ambil fotonya. #mamasayangsangatAyrinn#
No comments:
Post a Comment