Terima kasih sangat2!

f@sy@ f@ziD@ (^^)

Sunday, September 29, 2013

Birthday 'Manja Mama'




Kek butter lychee. Sgt sedap! Full of lychees inside. Topping rich with fruits.

 Happy Birthday sayang… oh my ‘Manja Mama’! She’s turn 1 oredi pada 25hb Mac 2013. Ayraa Adelia. Saya pakaikan gaun Ayrinn yang hanya dipakai sekali semasa Hari Raya beberapa tahun lalu. Saya sengaja ambil beberapa shot sebab masa ni Ayraa dah pandai duduk sendiri. Lihat sajalah gelagat Ayraa. Macam-macam aksi yang buat kami tak kering gusi. Lagi dia gelak, lagi galak kami mengusiknya.



Waktu ini saya belikan Ayraa kek Laici untuk dijamu kepada kawan-kawannya di nurseri berserta dengan goodies. Alhamdulillah, cikgu pun suka dengan rasa kek yang sedap ni. Tak lupa, kami berikan goodies buat kawan-kawan Ayraa di taska.



Burung Marah-marah @ Birthday 'Princess Mama'


Kalau nak tahu, saya selalu panggil Ayrinn ni ‘PRINCESS MAMA’. Yang adiknya Ayraa, saya panggil ‘MANJA MAMA’. Setiap tahun kami memang raikan di rumah saja. Tidak lupa, kami raikan dengan membawa kek dan goodies untuk kawan-kawannya di nurseri (Taska Sinar Mutiara) lebih kurang 40 orang. Seronok betul Adam dan Ayrinn saat kami membungkus goodies bersama-sama untuk diberikan kepada kawan-kawannya keesokan hari. Kek hari lahir biasanya saya beli sahaja di King’s Confectionery kerana saya tak sempat membuatnya pada hari bekerja.


Hmm… tengok sajalah gelagat Ayrinn. Memang saya akan terkenang-kenangkan dia, telatahnya, suaranya, senyumannya, semuanyalah! Ayrinn memang princess mama. Huhu... Untuk tahun ini pada tanggal 28hb April, Ayrinn telah menginjak umur 4 tahun (ramai yang ingat dia umur 5 atau 6 tahun kerana sifat 'independent' nya itu.
Sebab kali ini Ayrinn nak kek edible image kartun-kartun.

Goodies untuk kawan-kawan Ayrinn di taska. Pun .. Angry Bird. Burung marah2.. :)


Popia Nestum, Kudap-kudapan Petang Hari

Hari raya hari tu saya sempat buat POPIA NESTUM. Masa tu, saya memang ada tempah dengan rakan sepejabat, namun saya lebih tertarik untuk menghasilkannya sendiri kerana saya menggemarinya. Anak-anak juga begitu. Prinsip saya, kalau sekeluarga gemar, lebih baik hasilkan sendiri. (Sebab... kalau beli memang tak cukup!) Lebih menjimatkan dan dapat kuantiti yang banyak dengan kos yang minima. Apalagi, saya pun mencuba resipi sendiri setelah saya melihat label yang ada pada balang kuih raya tersebut tertulis. Bahan-bahan: Kulit popia, gula, nestum.

Namun begitu, lidah saya masih tak merasa kesedapannya yang maksima. Lalu, saya pun membuatnya sendiri tetapi kali ini saya mencampurkannya dengan SUSU TEPUNG (ada yang mencampurkan dengan HORLICKS) kerana rasa lemak susu itu yang akan membuatkannya lebih sedap. Kakak ipar saya juga mengakui yang popia nestum yang saya hasilkan lebih lazat berbanding yang dibeli. (Pesanan penaja: Bukan kembang hidung ye, tetapi seperti yang saya katakan, penangan susu tepung itu yang membuatkannya lebih lazat rasanya). Hihi… Kali ini saya tiada resipi khusus kerana saya suka-suki mencampurkannya. Agak-agak anda suka tahap kemanisan gula, nestum dan susu tepungnya.


POPIA NESTUM VERSI FASYA FAZIDA
Bahan-bahan:
Kulit popia (digulung, digunting dan digoreng sekejap)  saya lekatkan kulit popia di hujungnya hanya menggunakan air, ada yang menggunakan bancuhan tepung gandum.
5 sudu Nestum (saya beli di kedai bakery)
3 sudu Susu tepung (saya beli di kedai bakery)
3 sudu Gula kastor
Cara-caranya:
Kisar kesemua bahan di atas, lalu gaulkan dengan popia yang telah digoreng tadi. Kalau tak cukup, bancuh lagi.
Memang sesuai buat kudap-kudapan walaupun pada hari biasa.

Wednesday, September 25, 2013

Habis hangus kek mama... Nama pun kek gula hangus.;)


Rupa-rupanya, bila saya buat kek gula hangus ni, ramai pula yang menggemarinya. Ingatkan kuih tradisional ni tak ada peminat. Sebabnya, bila mak saya buat untuk keluarga, rupa-rupanya mak pun tak berapa minat, cuma mak suka belajar dan buat dan ayah pun suka. Kami adik-beradik pun bukanlah peminat tegar. Tapi apabila kami masing-masing dah berkahwin, rupa-rupanya pasangan kami dan keluarga mereka pula yang menggemarinya. Saya pun apalagi… beli acuan kek berlubang tengah dan terus membuatnya. Bila hari raya, saya akan buat dan beri pada mak mertua sebab anak-anak kakak suami saya sukakan kek ni. Sebiji untuk mereka memang tak cukup. Sukanya saya bila mereka suka air tangan saya. Alhamdulillah.



Sebab tu saya nak berkongsi juga dengan semua resipi mudah turun temurun ibu saya (ibu saya ada juga mengambil tempahan terutama hari raya). Sebiji RM22 (tidak termasuk kos penghantaran). Itupun harga lama yang dah dipakai bertahun-tahun.  Kalau ada yang nak TEMPAH dengan saya KEK GULA HANGUS aka Kek Sarang Semut, bolehlah order. Chewah! Nak order, PM saya di facebook ye. 


Saya suka potong cenggini sebab nak nengok sarangnya. Hihi...

KEK GULA HANGUS
Bahan-bahan:
6 biji telur gred B
*2 cawan tepung gandum
*1 camca teh soda bikarbonat
(*diayak bersama)
½ cawan marjerin
½ cawan susu pekat
1 sudu teh esen vanilla
Cara-caranya (saya bagi petua lagi supaya tiada orang komen, “ala..nape saya buat tak jadi…” uhuk…:
1.       Panaskan 2 cawan gula dengan api perlahan. Setelah cair, campurkan dengan air sedikit demi sedikit. AWAS! Berhati-hati kerana gula akan terpercik, oleh itu dinasihatkan agar memasukkan setengah cawan air, kacau, hembuskan asap kuat-kuat agar tak memercik kena tangan. Kemudian, baru masukkan air yang selebihnya. Masukkan marjerin,kacau lagi hingga cair sebati. Sejukkan di tepi.
2.       Kisar telur sekali atau 2 kali tekan jer. Tet! Tet!
3.       Campurkan susu, telur, esen vanilla dan kacau sebati.
4.       Kemudian, masukkan tepung dan soda bikarbonat yang telah diayak.
5.       Masukkan air gula. Kemudian, tapis bancuhan tadi. (Bancuhan memang agak cair.)
6.       Masukkan bancuhan ke dalam bekas yang berlubang tengah seperti dalam gambar. Bakar dalam 45 minit sahaja dengan suhu 180 darjah Celsius (kalau ikut oven saya). Hasilnya, anda akan dapat sarang yang menarik (bagi pandangan saya) dan kek yang lembap wallah!

TERIMA KASIH MAK ATAS RESIPI INI yang saya dah buat banyak kali. Ngeh! Ngeh!

Sejuk-sejuk pun boleh layan aiskrim...



Aiskrim memang sedap di makan walaupun di dalam pendingin hawa.

Cuaca panas-panas begini, memang sedap kalau dapat basahkan tekak yang agak kering dengan aiskrim (tapi cuaca sejuk pun layan juga...kan). Lebih sedap kalau aiskrim tu dibuat dengan jari-jemari dan tangan sendiri. Ye tak puan-puan? (Angguk tau. Kalau tak, nanti aiskrim tu tak menjadi. Hihihi…)
Oklah, saya buat aiskrim ni dan ngam-ngam dapat masukkan dalam bekas aiskrim (yang mak bekalkan nasi berlauk kenduri adik bertunang hari tu). Dulu ada juga saya buat aiskrim perisa oren sunquick, tapi saya tak dapat godek gambar tu dalam facebook sebab dah lama bebeno. Sebenarnya, resipi ni ada pelbagai versi.


Ais krim perisa jagung wallah! Boh ceri merah hijau pelengkap warna. Huhu...

AISKRIM
Bahan-bahan:
1 tin susu cair
½  tin susu pekat manis
1 sudu teh esen vanilla (ini saya tambah)
2 sudu besar pewarna atau any flavor yang anda berkenan. (Saya letak perisa jagung)
2 sudu kecil ovalette (cari di kedai biasa pun ada)
Cara-caranya:
Kisar semua bahan tadi. Masukkan ke dalam bekas. Sejukkan di dalam peti ais (tempat beku ye puan-puan. Mesti tahu, kan… huhu) Oh ya! Kalau anda rasa nak tabur chocolate rice ker, ceri ke, masukkan nata de coco ke, mix fruit ke atau apa saja yang dirasakan sesuai, masukkan je sekali sebelum ia membeku.
Selamat menikmati aiskrim yang sangat lazat dan … oh heaven!

Penangan Kek Coklat Hitam???


Hmm… si Adam memang suka kalau saya di dapur. Dia ni memang rajin ke dapur. Masa kecil ni, dia memang ‘rajin’. Kadang-kadang urut dada sajalah dengan sikap dia…uhuk..tapi Adam memang boleh harap. Ayrinn lebih rajinlah. Mungkin sebab dia anak perempuan. Adam macam banyak , ‘kejap…kejap…’. Ayrinn pula, “OK mama”. Ayraa…? Belum nampak lagi… huhu… baru setahun setengah. Kali ini, saya kemas-kemas gerobok dapur merah saya, dan saya jumpa pelbagai barangan yang tak habis lagi semenjak hari raya hari tu. KOKO! Apalagi, dalam kepala ligat berfikir, nak buat apa dengan bahan-bahan tu. Cookies OR Cake??? SUSU TEPUNG? (Lebihan buat popia nestum) Apalagi, resipi pertama adalah… Kek Coklat Hitam(resipi sejak saya bujang lagi, sebab mak saya kalau buat kek coklat hanya guna resipi ni) Tapi, saya lain pula. Saya suka cuba pelbagai resipi. Since yang ini mudah dan semua bahan ada di rumah, lets bake! Untuk pengetahuan semua, saya lebih suka resipi yang guna cawan. Mudah! Tak perlu timbang, sukat segala bagai. Huhu…


Kek Coklat Hitam
Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1 ½ cawan gula
½  cawan koko
½ cawan susu tepung
¾ cawan mentega
1 cawan air
3 biji telur
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen vanilla
Cara-caranya:
1.       Pukul gula dengan mentega. Tak perlu guna mixer. Hanya guna senduk kayu biasa.
2.       Masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul lagi sehingga sebati.
3.       Masukkan tepung bersama susu tepung, soda bikarbonat, baking powder, esen vanilla. Kacau dan sebatikan. Kemudian, masukkan air. Sebatikan agar tiada tepung yang bergintil.
4.       Kemudian, masukkan dalam Loyang yang telah digris dengan mentega.
5.       Bakar selama 45 minit hingga 1 jam, suhu 180 darjah Celsius.
(untuk dapatkan kek yang lembap, jangan bakar sehingga kek nampak kering. Agak-agak cucuk kek dengan lidi dah masak, ok dah. Tutup suis oven.)

Birthday Adam - 6th


Birthday Adam bulan Ogos, tapi kami tak sempat nak sambut sama ada di tadika atau taska. Sebabnya, masa itu bulan puasa. Sebelum itu, Adam asyik mengira-ngira akan kedatangan bulan Ogos. Akhirnya, apabila tibanya bulan Ogos, kami tak sempat nak sambut. Walau bagaimanapun saya janji untuk sambut bersama-samanya di mana-mana restoran. Akhirnya, kami sempat gembirakan Adam dengan membawanya
ke acara makan-makan di Kenny Rogers, Tesco Setia Alam. Jadilah kan… uhuk!


Ayrinn, Adam, & Ayraa

Kami belikan kek hari lahir untuk Adam dan saya pula beria-ia membeli topeng, tiup-tiup bagai untuk gembirakan dia (mama dia over tau!) sebab tahun ini Adam dah 6 tahun! How time flies… Kali ini, bluberry cheese cake untuk yang tersayang.

Tapi, dalam pada kami dah membawa dia ke acara makan-makan itu, Adam masih tidak lupa untuk mengingatkan mamanya tentang dia nak raikannya sekali lagi di Tadika Islam al-Fudhail. Anak…anak… Sebabnya, kebanyakan masanya habis di Tadika sejak Adam berusia 6 tahun ini. Masa sekolahnya bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 4.00 petang. Sebab itulah Adam mengharapkan untuk  meraikan kawan-kawannya di tadikanya.
Sebenarnya, Adam nak sangat ‘basikal tongkat’ . Sebab basikal masa umur dia 3 tahun tu dah kecil untuk dia. Akhirnya, kami belikan dia ‘basikal tongkat’ untuknya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-6. Itupun dapat selepas dua bulan (sebab sebenarnya kami janji kalau dia dapat keputusan yang baik dalam ujian. Alhamdulillah, keputusannya memberangsangkan. Kalau tak, takkan dapat nak ooiii…)

Tahun hadapan, jika umur kami sekeluarga masih dipanjangkan Allah SWT, saya berhajat untuk membuat majlis untuk Adam memandangkan umurnya mencecah 7 tahun dan Adam nampaknya akan lebih matang dan menghargai majlis tersebut.

Tuesday, September 24, 2013

AYRAA ADELIA


Anak ketiga saya, AYRAA lahir selepas tiga tahun iaitu pada tanggal 28 Mac 2012, jam 10.04 malam. Memang kami merancang untuk menjarakkannya selepas tiga tahun (atas nasihat mak saya yang berpengalaman. Hehehe). Katanya, biar yang dua orang itu sudah boleh berdikari. Tapi, memang betul pun. Abang dan kakaknya memang boleh diharap saat adik mereka dilahirkan. Dan hasilnya mereka amat menyayangi adik mereka. Senang hati saya.




Namun, kelahiran kali ini, papa nya tak sempat azankan. Sebabnya, sebaik sahaja suami saya pulang melawat jam 7.00 malam, saya dah mula rasa sakit yang kerap. Memang tak jangka yang saya akan bersalin malam itu juga. Sebab saya admit pagi itu. Biasanya saya akan bersalin keesokan harinya. Namun, Allah nak mengurangkan kesakitan saya agaknya, Alhamdulillah Ayraa selamat dilahirkan malam itu juga. Syukur! Selesai bersalin, saya cuba menelefon suami dalam jam 11.00 malam, namun tidak berjawab. Hati saya berkata, mungkin dia lelah bekerja di siang hari dan menguruskan dua lagi anak kami. Sepanjang berada di hospital (saya bersalin di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk ketiga-tiga anak saya kerana saya lebih mempercayai kepakaran hospital kerajaan dan Alhamdulillah saya tidak melalui pengalaman yang sukar seperti sesetengah orang), suami saya akan datang seawal pagi untuk melawat. Setiap kali waktu melawat dalam sehari, pasti wajahnya terpacul di muka pintu. Saya tak berasa keseorangan kerana jadual kerjanya yang fleksibel. Terima kasih sangat-sangat pada suami saya.
Sebaik sahaja suami saya mendapat berita kelahiran pada keesokan paginya (dalam keadaan tidak percaya..hehehe), memang jelas terpancar kegembiraan pada wajahnya kerana inilah satu-satunya bayi yang dia tak sempat sambut selesai keluar bilik bersalin dan azankan. Adam dan Ayrinn pun gembira dengan adik baru mereka.


Inilah kehidupan kami berlima. Akan datang, siapa tahu. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
Doa kami agar anak-anak anugerah Allah ini bakal menjadi anak-anak yang boleh mendoakan kami saat kami tiada lagi di dunia ini dan mampu menjadi IMAM dan memimpin keluarga mereka kelak.

AYRINN ARYANA


Independent, suka senyum.
AYRINN anak kedua saya. Ayrinn Aryana, lahir pada 28 April 2009 pada jam 1.14 tengah hari dengan berat 29.1kg. Anak kedua lahir awal dan lebih mudah. Saya bersalin awal dua minggu daripada EDD. Kali ini, kandungan perut agak kecil. Rakan-rakan sepejabat yang jarang bertemu di tingkat bawah hanya mengetahui saya mengandung ketika kandungan mencapai usia 7-8 bulan. Itupun saya masih berbaju kurung sehinggalah tiba saat untuk melahirkan. Beza dua tahun dengan abangnya. Agak sentimental, sama seperti saya. Dan saya amat menyayanginya. Anak perempuan perlu lebih disayangi. (mungkin juga kerana sejarah saya dahulu). Walaupun penyedih, namun dia berdikari dan kuat semangat.


Semangat itu telah ditunjukkan semenjak dia berusia 2 hari lagi. Ayrinn kuat untuk mempertahankan penyusuan ibu secara eksklusif walaupun saya mengalami sedikit masalah untuk menyusukannya (segan untuk menyatakannya di sini, tetapi rakan sepenyusuan di pejabat tahu akan masalah ini dan kami berkongsi bagaimana untuk meneruskan penyusuan). Saya berjaya meneruskan penyusuan eksklusif sehingga umurnya setahun dan masih meneruskan sehingga umurnya dua tahun (tetapi sudah dicampur sedikit dengan susu formula kerana kekurangan air susu). Alhamdulillah.

3 Cahaya mata, permata hati bonda - ADAM ADRIAN

Kini, anak-anak saya semakin membesar. Saya tahu masa saya amat suntuk. Masa berlalu begitu cepat. Banyak lagi yang belum sempat saya lakukan untuk anak-anak tersayang saya. ADAM, anak saya yang pertama, rasanya baru sahaja menatap wajahnya pada hari pertama saya melahirkannya enam tahun yang lalu. Oh, indah sungguh saat itu. Ya, saya bergelar ‘mama’ pada saat Adam Adrian dilahirkan pada 6.57 petang, tanggal 25 Julai 2007.


Dengan berat 3.25kg, bayi saya dilahirkan normal dan sihat. Alhamdulillah. Untuk saya, bayi pertama dengan berat 3kg ke atas, keadaan agak menyakitkan. Lagi-lagi kepala Adam agak besar. Ini kerana, Adam berada dalam perut saya selama 40 minggu 6 hari. Saya gagahkan berjalan pusing Tesco untuk menurunkan (engage) kan segera. Namun, Alhamdulillah. Lahir juga dalam keadaan yang normal dengan izin Allah SWT. Namun, apa yang menyedihkan, saya hanya mampu menyusukannya secara eksklusif selama 4 bulan sahaja. (Ada masalah dengan penyusuan, akhirnya dia tak mahu menyusu kerana tak puas. Berakhir dengan susu formula. Isk isk isk …sob…sob..sob).

Monday, September 23, 2013

Buat Kecur Liur Saja...

Anda tahu tak buah apakah ini? Klu: Sejenis mangga.




Ha, dah dapat teka? Ya, betul! Buah mangga kuinin. Memang sedap rasanya kan. Saya sememangnya seorang peminat buah mangga. Mangga epal, mangga kuinin, mangga telur, bla bla.. apa jua jenis mangga aka buah pauh (kata orang Kelate…hehe). Saya rasa anda juga peminat mangga. Apatah lagi mangga muda, atau mangga yang rasa lemak-lemak masam manis, cicah dengan cili padi, kicap, dan gula. Ada yang tambah belacan. Oh, memang syurga dunia seketika… Ada yang kata, “Oh, heaven!” Malam tadi saya ke pasar raya NSK di Meru, Klang. Sebelum ini, jika ke bahagian barangan basah dan buah-buahan, saya sudah terbau-bau keenakan buah kuinin kerana baunya yang ‘menyengat’. Tetapi, hati saya masih belum teringat untuk mengambilnya lantaran mengingatkan senarai barangan lain yang perlu dikejar terlebih dahulu. Dan saya perlu cepat kerana tidak mahu beratur panjang di kaunter pembayaran. Sudahnya, saya terlupa untuk mengambilnya.

Namun, pada malam tadi saya tekad untuk mengambil 3 biji mangga kuinin. Bukannya hendak makan sangat, cuma saya teringin untuk dibuat sambal belacan kuinin. Dulu-dulu, saya memang sukakan sambal belacan kuinin… sehinggalah sekarang. Lawankan dengan ikan goreng. Dimakan dengan nasi panas. Pergh… memang terangkat!

Menggamit Memori






Tahun 2008, saya ke Pesta Buku Antarabangsa (PWTC) atas dasar bertugas di bawah Karangkraf. Waktu itu, saya masih bertugas sebagai Penolong Editor majalah e-BACA. Seusai bertugas, sempat juga dan rakan setugas berjalan dari booth ke booth penerbitan lain untuk mencari bahan bacaan yang berkenan di hati. Ketika itulah mata tertancap pada sebuah buku. Karya Nan Indah untuk Semua, Panduan Penulisan Kreatif oleh Faisal Tehrani (Penerima Anugerah Seni Negara). Staf yang bertugas ada menyatakan yang penulisnya bakal berada di situ untuk menandatangani buku yang bakal dibeli, namun saya menolak untuk menunggu buku itu ditandatangani dan berjumpa penulisnya kerana kami bergegas ingin segera pulang.





Maka itu, saya beli juga buku itu kerana hati ketika itu ingin sekali memulakan penulisan awal (namun perlukan bimbingan). Harganya cuma RM29.00. Bahasanya mudah sekali untuk difahami bagi penulis amatur seperti saya. Lengkap contoh dan hasil karyanya. Pelbagai. Karyanya memang indah! Maka dari saat itulah, saya membaca (namun belum khatam… hehehe) dan memulakan penulisan genre kanak-kanak dan awal remaja. Antara buku-buku yang saya hasilkan, memang saya gunakan nama Fasya Fazida (nama pena yang wujud sejak sekolah menengah ). Buku-buku yang saya hasilkan ini sebenarnya adalah dengan bantuan seorang kakak (rakan yang saya terjumpa tanpa disangka, diperkenalkan oleh seorang rakan wartawan senior kepada saya yang mengajak untuk menulis bersama-samanya.) Waktu itu saya rasa bagai orang yang mengantuk disorongkan bantal. Manakan tidak, saya yang memang sedang mencari-cari galakan dan semangat untuk memulakan penulisan, akhirnya ditemukan dengan seseorang dengan izin Allah SWT. Alhamdulillah.






Penghasilan buku-buku ini tidak memakan masa yang lama. Cuma menunggu lama sedikit untuk mendapatkan naskah contohnya kerana buku ini untuk PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA. Jika anda tanya tentang bayaran yang saya terima buat pertama kali, ketika itu saya rasa bayaran adalah perkara kedua. Paling penting, mahu lihat bagaimana wajah buku hasil tulisan kita. Jujur saya katakan, seandainya anda ingin menulis, karya anda bercetak disertakan nama penulis di kulit muka hadapan buku tersebut sebenarnya yang ditunggu-tunggu, dinanti-nanti, yang lebih anda hargai. Bukannya bayaran yang dinanti. Kerana keterujaan buku itu dicetak sesungguhnya amat mendebarkan. Walaupun saya memang bertugas di bahagian majalah dan hasilnya keluar pada setiap bulan (pastinya teruja menanti), namun penghasilan BUKU amat BERBEZA sekali. Terujanya lain sekali! Tak percaya, cubalah menulis, dan nantikan karya PERTAMA anda. Selepas itu, beritahu saya apa yang anda rasa. Hehehe…

Friday, September 20, 2013

Kini kembali...


Setelah bertahun-tahun meninggalkan aktiviti blogging disebabkan pelbagai faktor. Antaranya malas (paling utama, hihihi... aksi ini bukan untuk ditiru, tak bagus untuk kesihatan minda dan tubuh), tidak serius, kesibukan kerjaya dan menguruskan keluarga seiring dengan pertambahan ahli keluarga. Hikhik. Kini, saya rasa terbuka hati semula untuk berblog. Doakan agar saya istiqomah (dan rajin) agar saya dapat berkongsi ilmu, panduan, tip, dan paling best adalah berkongsi PENGALAMAN yang amat berharga, yang saya percaya setiap insan melaluinya dalam keadaan yang berbeza-beza. Perkongsian bukan sahaja dapat bertukar-tukar fikiran, tapi tahukah anda bahawa perkongsian juga bisa mengubat jiwa yang gundah, meleraikan yang kusut, mencantumkan hati yang retak. Ya, memang benar! Perkongsian akan membuatkan kita berfikir lebih luas, berfikir di luar kotak akan pengalaman yang orang lain lalui. Adakala jika kita merasa tertekan dengan masalah yang kita hadapi dalam meniti kehidupan, sehingga kita hampir PATAH (bsa), namun apabila kita berkongsi dengan orang lain, ternyata kehidupan kita tidaklah seteruk mana. Ada orang lain ternyata melalui pengalaman yang lebih memeritkan, menghadapi bebanan yang lebih tak tergalas di bahunya. Oleh itu, konsep BERSYUKUR (ALHAMDULILLAH) itu ternyata perlu diterapkan dalam diri setiap dari kita. Ucaplah SYUKUR, ALHAMDULILLAH. Semoga perkongsian saya kali ini dapat membuatkan jiwa-jiwa yang kian rapuh kembali bertenaga agar kelam yang menutupi mega bakal memancarkan sinar surianya kembali.Insya-Allah.