This is me, the real me. Life full of tears... of happiness (and sadness). Soft-hearted. Love to be independent woman.
Monday, September 23, 2013
Menggamit Memori
Tahun 2008, saya ke Pesta Buku Antarabangsa (PWTC) atas dasar bertugas di bawah Karangkraf. Waktu itu, saya masih bertugas sebagai Penolong Editor majalah e-BACA. Seusai bertugas, sempat juga dan rakan setugas berjalan dari booth ke booth penerbitan lain untuk mencari bahan bacaan yang berkenan di hati. Ketika itulah mata tertancap pada sebuah buku. Karya Nan Indah untuk Semua, Panduan Penulisan Kreatif oleh Faisal Tehrani (Penerima Anugerah Seni Negara). Staf yang bertugas ada menyatakan yang penulisnya bakal berada di situ untuk menandatangani buku yang bakal dibeli, namun saya menolak untuk menunggu buku itu ditandatangani dan berjumpa penulisnya kerana kami bergegas ingin segera pulang.
Maka itu, saya beli juga buku itu kerana hati ketika itu ingin sekali memulakan penulisan awal (namun perlukan bimbingan). Harganya cuma RM29.00. Bahasanya mudah sekali untuk difahami bagi penulis amatur seperti saya. Lengkap contoh dan hasil karyanya. Pelbagai. Karyanya memang indah! Maka dari saat itulah, saya membaca (namun belum khatam… hehehe) dan memulakan penulisan genre kanak-kanak dan awal remaja. Antara buku-buku yang saya hasilkan, memang saya gunakan nama Fasya Fazida (nama pena yang wujud sejak sekolah menengah ). Buku-buku yang saya hasilkan ini sebenarnya adalah dengan bantuan seorang kakak (rakan yang saya terjumpa tanpa disangka, diperkenalkan oleh seorang rakan wartawan senior kepada saya yang mengajak untuk menulis bersama-samanya.) Waktu itu saya rasa bagai orang yang mengantuk disorongkan bantal. Manakan tidak, saya yang memang sedang mencari-cari galakan dan semangat untuk memulakan penulisan, akhirnya ditemukan dengan seseorang dengan izin Allah SWT. Alhamdulillah.
Penghasilan buku-buku ini tidak memakan masa yang lama. Cuma menunggu lama sedikit untuk mendapatkan naskah contohnya kerana buku ini untuk PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA. Jika anda tanya tentang bayaran yang saya terima buat pertama kali, ketika itu saya rasa bayaran adalah perkara kedua. Paling penting, mahu lihat bagaimana wajah buku hasil tulisan kita. Jujur saya katakan, seandainya anda ingin menulis, karya anda bercetak disertakan nama penulis di kulit muka hadapan buku tersebut sebenarnya yang ditunggu-tunggu, dinanti-nanti, yang lebih anda hargai. Bukannya bayaran yang dinanti. Kerana keterujaan buku itu dicetak sesungguhnya amat mendebarkan. Walaupun saya memang bertugas di bahagian majalah dan hasilnya keluar pada setiap bulan (pastinya teruja menanti), namun penghasilan BUKU amat BERBEZA sekali. Terujanya lain sekali! Tak percaya, cubalah menulis, dan nantikan karya PERTAMA anda. Selepas itu, beritahu saya apa yang anda rasa. Hehehe…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment